Tok Bali Supply Base dinaik taraf pelabuhan

PASIR PUTEH: Tok Bali Supply Base akan dinaik taraf kepada sebuah pelabuhan bagi merancakkan lagi pembangunan kawasan berkenaan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perkara itu dalam perhatian kerajaan negeri dan akan dibincang lanjut dalam Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Advertisement

Katanya, kerajaan negeri sudah membangkitkan perkara itu kepada ECER bagi tindakan lanjut.

“Kita juga mahu wujudkan kawasan industri di Tok Bali di mana kawasan seluas 200 ekar sudah dikenal pasti untuk diwujudkan taman industri baharu selepas kawasan perindustrian di Pengkalan Chepa sudah padat sekarang.

“Kita kemukakan kepada ECER. Kita juga sedang naik taraf Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali. Lagi pun sekarang sudah ada tempat pendaratan ikan di Tok Bali,” katanya pada sidang media selepas melawat Kapal Maritim Tok Bali di Jeti Tok Bali Supply Base di sini, hari ini.

Menurutnya juga sehingga sekarang ECER melabur sebanyak sebanyak RM70 juta, manakala pihak swasta pula RM69 juta di Tok Bali.

Kata beliau juga apabila dinaik taraf kepada pelabuhan lebih banyak lagi kapal masuk ke Tok Bali terutamanya pihak yang terbabit dalam industri cari gali di perairan Kelantan. – HARAKAHDAILY 3/8/2020