Utusan dedah cita-cita perjuangan Presiden PAS

UTUSAN Malaysia memuatkan bahagian pertama wawancara eksklusifnya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam keluarannya hari ini, Isnin 3 Ogos 2020. Wawancara yang padat dengan isu-isu politik semasa itu meluahkan isi hati dan pendirian politik seorang pemimpin parti politik Islam terbesar dalam negara dengan keahlian mencecah 1 juta orang ahli berdaftar.

Tuan Guru seperti biasa berbicara secara jujur dan terbuka kerana begitulah sikapnya sebagai seorang pemimpin politik selama ini. Sebagai seorang ulamak dan sarjana Islam, berbekal dan berpandukan ilmu politik Islam dan pengalaman yang cukup luas, beliau sangat mengambil berat memastikan langkah politik PAS parti yang dipimpinnya tidak lari dari jejak dan tauladan yang ditinggal junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan para Sahabat Baginda.

Advertisement

Beliau menterjemahkan pengalaman silam untuk dipadankan dengan suasana semasa tanpa kompromi bab prinsip dan dasar, bagi menawarkan penyelesaian politik Islam kontemporari demi membawa keluar negara dan rakyat dari kemelut tidak menentu ke arah penyelesaian Islam yang sempurna dan meyakinkan. 

Tugasnya bukan mudah, tiada pemimpin politik Islam seumpamanya yang pernah berjaya, tetapi berdasarkan suasana politik semasa ternyata Tuan Guru sedang dan bakal merintis jalan kejayaan kiranya gagasan beliau dapat diterima semua.

Hari ini Tuan Guru memimpin PAS dan duduk dengan rakan-rakan lain sebagai blok parti pemerintah di peringkat Persekutuan.
Tiada agenda lain yang dikemukakannya selain politik perpaduan Islam, politik kembali bersatu di bawah naungan al Quran, yang ia bawa dengan penuh komitmen dan konsisten sejak menerajui parti ini setelah mengambil alih kepimpinannya dari Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Nor selepas Almarhum meninggal dunia Julai 2002.

Pasca PRU14, kuasa politik Melayu yang merupakan majoriti penduduk dalam negara ternyata menguncup setelah parti-parti Melayu bertanding sesama sendiri, akibatnya blok pembangkang Pakatan Harapan telah menang dengan didominasi parti DAP, parti yang tiada agenda perjuangan politik Melayu Islam di dalam kamus politiknya.

Umno dan PAS, dua buah parti Melayu-Islam terbesar dalam negara gagal menguasai Putrajaya kerana undi Melayu berpecah dalam PRU berkenaan. Mujur walaupun kalah atas kesedaran dan inisiatif bersama, pemimpin-pemimpin dua buah parti ini dipimpin Dato’ Seri Zahid Hamidi, Presiden Umno dan Tuan Guru sendiri akhirnya bersetuju berdamai, kembali kepada formula Islam, mengenepikan segala perselisihan dan perbalahan yang lampau, bermuafakat demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

September 2019, termeterailah buat pertama kali dalam sejarah Malaysia Merdeka, Piagam Muafakat Nasional yang menyatukan gerak langkah PAS dan Umno.

Dalam pada itu dengan takdir Allah S.W.T, Kerajaan PH yang menang dalam PRU14 itu roboh apabila Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan. Dan dalam ketiadaan kerajaan, Yang di-Pertuan Agong telah memilih Tan Sri Muhyiddin Yasin dari parti BERSATU untuk menjadi PM ke-8.

Muhyiddin telah mensuakan tangan persahabatan pada PAS dan Umno serta BN untuk membentuk kerajaan baru bersama BERSATU dan GBS dari Sabah serta GPS dari Sarawak. Demi kepentingan negara dan kestabilan PAS dan Umno bersetuju lalu terbentuklah kerajaan Perikatan Nasional yang baru menggantikan PH yang telah roboh.

Tuan Guru bukan seorang ahli politik yang mahu menangguk di air keruh, yang gilakan jawatan dan pangkat tanpa mengira kesannya kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau terus berpegang pada kepercayaan bahawa negara hanya akan stabil dan peroleh barkah dari Allah S.W.T kiranya kuasa politik Islam disatukan, tanpa berpecah-pecah, berbalah atau berseteru sebaliknya bermuafakat dan bersatu menjunjung titah perintah-Nya.

Sebagaimana ditegaskannya dalam wawancara ini bahawa kaum yang dominan yakkni Melayu-Islam perlu menerajui tunggak negara dan hanya apabila ini berlaku rakyat jelata dan masyarakat majmuk dapat memperolehi keamanan dan keadilan. Syaratnya penyatuan Melayu Islam mesti ditegakkan.

Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional telah meneroka jalan penyatuan ini sehingga lahirnya piagam Muafakat Nasional, kini hadir pula BERSATU pimpinan Muhyiddin dan blok Dato’ Seri Azmin Ali yang meninggalkan PKR mahu berkerjasama.

Tuan Guru tidak berdolak-dalik sebaliknya berterus terang bahawa permuafakatan yang telah sedia ada antara PAS dan Umno perlulah diperluaskan lagi untuk menerima BERSATU dan rakan-rakan baru yang lain, yang bakal mengukuh dan memperteguhkan lagi kuasa politik Melayu Islam dan Bumiputera.

Jalan yang mahu ditempuh Tuan Guru ini bukannya mudah, kerana kita sedar Umno dan BERSATU punya sejarah gelap mereka, namun apalah sangat berbanding sejarah perbalahan antara Umno dan PAS sebelum ini yang lebih pahit berdekad-dekad lamanya.

Sesungguhnya jalan ini adalah jalan mereka yang berjiwa besar, jalan mereka yang berpolitik matang, jalan mereka yang berhati mulia, jalan mereka yang berpandangan jauh, yang jika ditempuh akan melahirkan nikmat persaudaraan kurniaan Allah S.W.T sebagaimana yang pernah berjaya dirasai oleh Rasulullah S.A.W dan para Sahabat Baginda, ianya janji Allah S.W.T.

Laluan ini mungkin kelihatan sukar tetapi ia tidak mustahil dengan syarat semua pemimpin Melayu-Islam Bumiputera mesti bersatu hati dengan satu cita-cita.

Kerana itu dalam wawancara ini Tuan Guru menyatakan kepimpinan parti-parti ini perlu dibawa duduk bersama, digabungkan, tentukan hala tuju bersama dan kemudian turun ke bawah memastikan penyokong masing-masing bersama dalam agenda politik baru yang besar ini.

PAS dan Umno sahaja tidak cukup kuat kata Tuan Guru, jika dicampur BERSATU dan blok Azmin ianya akan menjadi semakin kukuh dan dari situ akan berjaya membawa kejayaan yang lebih meyakinkan buat semua. Pasti musuh akan goyang dan gentar kiranya persepakatan ini berjaya.

Tuan Guru begitu optimistik Umno dan BERSATU akan bersama-sama dalam perjuangan ini, dan jika ia berjaya diusaha dan dibina maka sejarah akan sekali lagi tercipta bila mana kuasa-kuasa politik Islam boleh bernaung dan bersatu atas nama perpaduan, ia sukar diusahakan di negara-negara Islam yang lain tetapi tidak mustahil akan berjaya di sini yang nanti sudah pasti menjadi contoh buat dunia.

Itulah harapan Tuan Guru, itulah harapan PAS dan saya percaya itulah kehendak umat Melayu-Islam dan Bumiputera dalam negara. Marilah sama-sama kita mendukung dan menjayakannya.

Tajuk wawancara Utusan Malaysia ini berbunyi “Untung rugi PAS tak timbul” demikianlah bila permuafakatan berjaya dibentuk tiada yang rugi hakikatnya semua untung dan yang pastinya ummah akan kembali gemilang.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 3/8/2020