Daging lembu sado untuk 6,000 ketua isi rumah

SETIU: ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim menyembelih lapan ekor lembu sado untuk diagihkan kepada penduduk dalam kawasan berkenaan.

Advertisement

Dr Azman berkata, ia merupakan program korban julung-julung kalinya diadakan dalam skala besar dengan keseluruhan lembu yang disembelih menghasilkan kira-kira 3.2 tan metrik daging.

“Di hari Tasyriq yang terakhir, Program Korban Perdana DUN Jabi disempurnakan dengan penyembelihan lapan ekor lembu sado baka Charolais, Belgian Blue dan Limousine bernilai kira-kira RM100,000,

“Ianya mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap 6,000 rumah dalam DUN Jabi. Buat warga Jabi, kuantiti daging yang mampu kita agihkan ke setiap rumah tidaklah banyak. Tapi bolehlah pakat-pakat rasa keenakkan daging lembu sado,

“Walau lembu yang dikorbankan dah cukup sado saiznya, tapi dengan jumlah rumah yang ada dalam DUN kita, itulah yang kami mampu hantar ke depan pintu setiap rumah adik kakak kita semua. Mohon maaf atas segala kekurangan,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Korban Perdana peringkat DUN Jabi di Dataran Pekan Jabi, di sini semalam.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas yang bertungkus-lumus dari awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan dari tangga ke tangga penduduk.

“Kunci kejayaan program yang paling utama ialah semangat kerjasama para petugas dari Pusat Khidmat ADUN Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Amal, Keselamatan, Pemuda, Muslimat, Ameerah dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

“Atas segala curahan tenaga yang disumbangkan, diucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih,” hargainya. – HARAKAHDAILY 4/8/2020