KFA bayar tunggakan gaji berperingkat

ALOR SETAR: Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersetuju melunaskan tunggakan gaji pemain secara berperingkat bermula 15 Ogos ini.

Menter Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tunggakan gaji Mac 2020 akan diselesaikan sebelum 15 Ogos ini.

Manakala untuk April, Mei, Jun dan Julai akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Advertisement

“Jawatankuasa Khas Kewangan mengenai penyelesaian tunggakan akan dibentuk untuk mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ antara pihak persatuan dan pemain.

“Ini kerana Liga Super musim 2020 akan disambung semula bermula 26 Ogos ini,” katanya pada satu kenyataan selepas mesyuarat KFA malam tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden KFA bersetuju mengekalkan pengurusan pasukan Liga Super Kedah sehingga tamat musim Liga Malaysia 2020.

Beliau juga berkata, jumlah lantikan dalam pasukan akan dikaji semula memandangkan sekarang pasukan itu terdiri daripada 48 individu termasuk pemain dan pegawai.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Kewangan akan mengatasi beban hutang sejak September 2019 termasuk jumlah tunggakan KWSP dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM3.8 juta.

“Jawatankuasa itu berfungsi mendapatkan penajaan baharu memandangkan KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan musim 2020.

Mesyuarat Eksekutif KFA turut memutuskan Muhammad Radhi Mat Din sebagai Pengerusi Pengurusan Pasukan, Exco Belia dan Sukan Mohd Firdaus Ahmad sebagai Setiausaha Kehormat KFA dan Shahrul Samsudin (Setiausaha Eksekutif). – HARAKAHDAILY 4/8/2020