Lawat rakan politik bukan perkara luar biasa

KUALA LUMPUR: Menziarahi ataupun melawat rakan-rakan politik yang ditimpa musibah bukan satu perkara luar biasa dan tidak melanggar mana-mana prinsip perundangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada soalan tambahan Dato’ Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) berhubung penularan satu tangkap layar Twitter Takiyuddin yang tular berserta foto beliau bersama beberapa pimpinan PAS melawat Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Najib Razak.

Advertisement

Jelas Takiyuddin (PAS-Kota Bharu), amalan menziarahi rakan politik ketika ditimpa musibah, bukanlah satu perkara luar biasa, malah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga pernah menziarahi Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berada di dalam situasi sama sebelum ini.

Mengulas berhubung penularan tangkap layar ciapan Twitter beliau yang menulis ‘There may be times when we are powerless to prevent injustice, but there must never be a time when we fail to protest‘, Takiyuddin mempersoalkan kembali kesahihan sumber tangkap layar foto itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan bahawa beliau bersedia untuk memberi keterangan sekiranya dipanggil pihak polis seandainya perbuatan beliau itu tertakluk kepada mana-mana undang-undang tertentu, jelasnya di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Sementara itu, Takiyuddin turut memaklumkan bahawa kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji keperluan untuk Malaysia menggubal undang-undang khusus bagi menangani kes-kes menghina mahkamah di negara ini.

Katanya, Jabatan Peguam Negara kini sedang menjalankan kajian perbandingan terhadap undang-undang di beberapa buah negara seperti di India, United Kingdom serta Singapura. – HARAKAHDAILY 4/8/200