Malaysia ada seramai 71,041 doktor perubatan

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai seramai 71,041 doktor perubatan yang berkhidmat di sektor awam dan swasta dengan nisbah seorang doktor boleh memberi khidmat kepada 454 penduduk setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Advertisement

Beliau berkata daripada jumlah itu, 73 peratus atau seramai 51,912 doktor perubatan berdaftar dan berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Nisbah ini adalah lebih baik berbanding nisbah satu kepada 500 (1:500),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini, bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang ingin tahu mengenai bilangan doktor di bawah KKM dan nisbah doktor bagi setiap penduduk Malaysia.

Dzulkefly turut ingin tahu sama ada Malaysia merancang untuk menambah bilangan doktor selari dengan saranan nisbah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan satu doktor bagi setiap 500 penduduk.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata sehingga 30 Jun lepas, seramai 11,059 doktor pergigian bekerja dalam sektor awam dan swasta bersamaan dengan nisbah seorang doktor bagi 2,963 penduduk dan daripada jumlah keseluruhan doktor pergigian itu, seramai 6,530 berkhidmat di bawah KKM.

“Bagi ahli farmasi pula, seramai 19,341 individu bekerja dalam sektor awam dan swasta dengan nisbah satu bagi 1,694 penduduk dan daripada jumlah ini, seramai 11,616 ahli farmasi berdaftar dan berkhidmat di KKM,” katanya.

Di samping itu, Dr Adham (BN-Tenggara) menjelaskan bahawa WHO atau mana-mana pertubuhan antarabangsa tidak pernah menetapkan nisbah anggota perubatan kepada penduduk bagi mana-mana negara.

“Bagaimanapun, WHO melalui laporan Health Workforce Requirements for Universal Health Coverage and Sustainable Development Goals pada tahun 2016 menyarankan nisbah sekurang-kurangnya satu (anggota kesihatan melibatkan doktor dan jururawat terlatih) bagi setiap 225 penduduk.

WHO menyatakan nisbah berkenaan perlu untuk mendapatkan liputan kesihatan sejagat yang lebih baik pada kadar 80 peratus bagi perkhidmatan melibatkan ibu anak, penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.

“Malaysia tahun ini telah mencapai satu anggota kesihatan (termasuk doktor dan jururawat terlatih) bagi setiap 186 penduduk. Melebihi sasaran yang telah disyorkan oleh WHO untuk mendapatkan liputan kesihatan sejagat (universal health coverage),” katanya.

Beliau turut berkata KKM sentiasa mengambil langkah menambah kapasiti latihan kepada siswazah perubatan, pergigian dan farmasi untuk menjalani latihan dan khidmat wajib yang diperlukan mereka.

“Ini membolehkan mereka terus berkhidmat sebagai pengamal perubatan baik di sektor awam mahupun swasta,” katanya. – BERNAMA