PAS Sabah aktifkan bilik gerakan

KOTA KINABALU: PAS Sabah telah mengaktifkan bilik operasi pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah berkata jentera PAS di seluruh negeri juga telah bersedia menghadapi PRN ini walaupun ia diadakan secara mengejut.

“Jentera kita (PAS) telah disusun dan digerakkan sejak Mac lagi memandangkan berlaku situasi politik yang tidak menentu dalam negara termasuklah di Sabah.

“Apabila diumumkan DUN Sabah dibubarkan, PAS tidak menunggu lama untuk mengarahkan seluruh jentera bergerak kearah kemenangan dalam PRN ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, selain aktiviti penerangan, PAS Sabah turut mempergiatkan aktiviti menambah cawangan baharu, ahli baharu, bantuan kebajikan dan pelbagai lagi bagi menarik sokongan rakyat terhadap PAS.

DUN Sabah telah dibubarkan Khamis lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 September ini.

Sementara itu, Rabu lalu, Mantan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Namun demikian, Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah menjadikannya 73 kerusi.- HARAKAHDAILY 4/8/2020