Setuju jika PRU15 lebih awal

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersetuju jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal.

Ini kerana menurut beliau, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerlukan kepercayaan rakyat yang lebih besar.

Advertisement

Malah katanya lagi, kepercayaan rakyat terhadap PN jelas dapat dilihat melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang telah diadakan sebelum ini.

Tambahnya, tidak menjadi masalah kepada PAS dan bergantung kepada keputusan pilihan raya sekiranya negeri-negeri di bawah penguasaan PAS diserahkan kepada rakan komponennya dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN menjelang PRU akan datang.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkongsi pandangannya itu ketika ditemubual oleh pengarang Utusan Malaysia pada 27 Julai lalu.

Tuan Guru Abdul Hadi ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia di Bangunan parlimen minggu lalu. Foto Facebook Tuan Guru Abdul Hadi.

Beliau turut menyatakan rasa berpuas hati terhadap pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gopoh dalam membuat sesuatu keputusan.

Muhyiddin juga dinilainya tidak beremosi sepanjang ia mengemudi negara meskipun dihentam oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengannya.

Sehubungan itu, kata Tuan Guru Abdul Hadi, PAS telah memutuskan mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU-15 yang bakal berlaku tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 4/8/2020