Gesa kerajaan konsisten hantar pulang PATI

Foto: Facebook Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya konsisten menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya tidak menjadi kebimbangan kepada negara pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli (gambar) menegaskan kerajaan tidak boleh berkompromi dalam aspek melibatkan keselamatan rakyat di negara ini.

Advertisement

Apatah lagi katanya, ia merupakan tunjang penting kepada pembangunan sektor ekonomi bagi memacu pertumbuhan negara menuju sebuah negara maju kelak.

“Sewajarnya dasar ini konsisten dan tidak berubah-ubah kerana ia boleh membantutkan langkah penyelesaian jangka panjang terhadap permasalahan lambakan PATI dalam negara.

“Langkah ini juga wajar disokong oleh semua pihak lanjutan daripada ketegasan pihak Kerajaan untuk membawa pulang PATI ke negara asal seperti program Back For Good (B4G) yang pernah dilaksanakan pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap ketegasan kerajaan dalam Ops Benteng yang dilaksanakan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), APMM dan agensi keselamatan lain.

Ujarnya, usaha Ops Benteng sedikit sebanyak membantu kerajaan untuk menangani isu lambakan PATI di negara ini. – HARAKAHDAILY 5/8/2020