Merancakkan potensi pembangunan Perak Utara

BAGAN SERAI: Bahagian Perak Utara memiliki potensi strategik untuk dimajukan lagi menerusi pelbagai rancangan pembangunan yang boleh menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara dan negeri ini serta rakyat seluruhnya.

Advertisement

Demikian pandangan yang seia sekata disuarakan ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan Pakar Ekonomi, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali semasa program Korban Perdana di Surau Al-Falah Parit 2, Padang Lalang, di sini.

Razman mengupas, Bagan Serai mempunyai peluang besar bagi melahirkan produk pelancongan ternama bagi negeri ini di mana kini memiliki taman tema air di Bukit Merah, manakala Gunung Semanggol makin menarik minat aktiviti ‘paragliding‘.

“Seperti kita sedia maklum, di bahagian Utara dan menghala ke Gerik, ada empat buah MRSM. Tapi di bahagian sini, sekolah asrama penuh satu pun tak dak. Sedangkan SMKA Kerian merupakan sekolah agama terbaik dalam Malaysia.

“Anak-anak daerah ini ramai yang cerdik pandai. Insya-Allah kita akan usaha untuk bangunkan dengan kerjasama Ahli Parlimen di bahagian Utara ini,” ujar Razman yang juga EXCO Kerajaan Negeri Perak pada majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Serai, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali baru-baru ini.

Sementara itu, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi memperakui potensi kawasan Perak Utara yang hampir dengan insfrastruktur perdagangan antarabangsa antaranya pelabuhan dan lapangan terbang di Pulau Pinang.

“Jadi bererti, bagi saya bila dah ada semua ini, seolah-olah kita dah ada lauknya, ramuannya. Cuma kita perlu masak elok-elok sahaja. Saya dah bincang dengan YB EXCO (Razman), bahawa sebaiknya Perak Utara ini perlu ada perancangan yang lebih rapi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/8/2020