Seludup migran: Rakyat perlu bantu pihak berkuasa

KOTA TINGGI: Penduduk di Pantai Timur Johor diminta terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membendung penyeludupan masuk migran melalui jalan laut ke dalam negara, kata Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Advertisement

Beliau berkata kerjasama masyarakat setempat wajar diberi penghargaan kerana menjadi warganegara yang patriotik dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib sehingga membawa kejayaan dalam Op Benteng.

Katanya, Op Benteng yang dilancarkan sejak 2 Mei lepas telah menghasilkan kejayaan dalam menghalang penyeludupan migran dan kemasukan pendatang tanpa izin selain mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Banyak maklumat telah diperoleh daripada penduduk tempatan mengenai aktiviti penyeludupan migran sehinggalah kepada penyeludupan hidupan liar yang dilindungi. Peranan masyarakat amatlah dihargai dan disanjung tinggi sekali gus menepati konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

“Diharap hubungan antara penduduk setempat dengan pasukan keselamatan terus kekal erat demi menjaga kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya kepada pemberita sempena lawatan beliau ke kawasan operasi di Pantai Rakit, Kampung Punggai, di sini, semalam.
 
Tengku Muhammad Fauzi yang juga Komander Pusat Operasi Bersepadu Darat-Zon Selatan berkata sehingga kini, seramai 11 tekong dan 225 migran ditahan selain rampasan barangan bernilai RM329,029.50 (tidak termasuk kenderaan dan bot yang dirampas).

Kesemua ini melibatkan kerjasama bersepadu serta perkongsian maklumat semua agensi penguatkuasaan dalam memutuskan rangkaian kemasukan migran sama ada di darat dan perairan, katanya.

Turut hadir ialah Panglima 7 Briged Brigadier Jeneral Mohamed Fauzi Kamis dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Md Yusof Ahmad.

Selain Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, operasi sektor Op Benteng di Pantai Timur Johor turut membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,    Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. – BERNAMA