Takziah buat Lubnan dan rakyatnya

PAS merakamkan takziah kepada rakyat Lubnan diatas peristiwa letupan besar yang berlaku di gudang simpanan berdekatan pelabuhan di Beirut, Lubnan hari ini.

Advertisement

Letupan besar tersebut telah mengakibatkan lebih 70 orang terkorban manakala lebih 4,000 orang cedera namun angka korban dijangka terus meningkat berdasarkan skala letupan tersebut yang dianggap terbesar dalam sejarah Lubnan.

Letupan yang dikatakan berpunca dari simpanan sejumlah besar bahan letupan sejak enam tahun lalu di sebuah gudang bagaimanapun pihak berkuasa Lubnan dan Mejar General Abbas Ibrahim, Ketua Keselamatan Lubnan memberi amaran akan meneruskan siasatan dan berkemungkinan ia adalah tindakan pengganas.

Lubnan yang sedang berdepan dengan kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan politik dijangka akan terjejas teruk akibat daripada peristiwa tersebut.

Peristiwa letupan yang berlaku disaat keputusan mahkamah berkenaan pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri 15 tahun lalu yang jangka akan diumumkan pada Jumaat ini dijangka menimbulkan pelbagai spekulasi tentang masa depan Lubnan.

Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

Spekulasi terhadap peristiwa letupan tersebut bukan hanya akan mencetuskan ketidakstabilan di Lubnan malah akan turut menjejaskan geopolitik rantau Asia Barat yang kala ini semakin meruncing seterusnya mampu mencetuskan malapetaka di Asia Barat.

PAS juga menyeru kepada seluruh negara Dunia Islam agar memberikan sokongan kepada Lubnan dan seterusnya menguatkan perpaduan dikalangan negara-negara Islam agar Dunia Islam tidak lagi dipandang sepi dan terus kukuh memacu ummah.

Islam Memimpin Perpaduan.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 5/8/2020