RUU 355: Akhirnya PAS berjaya bentang usul

USUL Persendirian Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah  (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) berjaya dibacakan di Dewan Rakyat hari ini walaupun diganggu oleh beberapa Ahli Parlimen bukan Islam.

Advertisement

Sekitar 35 minit masa berlalu begitu sahaja apabila beberapa MP DAP dan PKR bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin sebaik sahaja beliau membenarkan Tuan Guru Abdul Hadi membacakan usulnya tepat jam 12 tengah hari.

Sebaik sahaja Pandikar mempersilakan Tuan Guru Abdul Hadi membacakan huraian RUU 355, Ahli Parlimen Gelang Patah (DAP) Lim Kit Siang bangun mencelah dan mendakwa bahawa rang undang-undang persendirian yang difailkan olehnya telah ditolak oleh speaker.

Ekoran itu, Pandikar menjelaskan bahawa kerajaan telah meminta supaya usul berkenaan diberi keutamaan, dan bahawa Hadi telah meminta untuk menangguhkan usul itu selepas memindanya.

Menurutnya, ‘tangannya terikat’ apabila ini membabitkan Peraturan Mesyuarat, kerana adalah hak eksekutif untuk membuat sebarang pindaan kepada Peraturan Mesyuarat.

“Yang mengubah adalah pihak Eksekutif. Kalau itu kehendak eksekutif saya patuh.

“Lain kali  ada persefahaman antara kerajaan dengan pembangkang dan saya juga dapat mandat seperti ini saya akan biarkan dihurai di dalam Dewan Rakyat,” tegas Pandikar.

Terdahulu Ahli Parlimen Gopeng Lee Boon Chye (PKR) menyoal mengapa usul TG Abdul Hadi diberi keutamaan berbanding usul pembangkang yang lain.

Pandikar menjelaskan bahawa usul Hadi adalah untuk memohon kebenaran supaya rang undang-undang itu dibacakan.

“Oleh itu, apabila usul itu dibacakan, Marang akan memberikan penjelasan, maka saya akan menjemput seseorang untuk sama ada menyokong atau menolaknya,” katanya.

Ahli Parlimen Puchong (DAP) Gobind Singh Deo turut mencelah dan berkata Speaker telah menerima notis, bahawa terdapat tuntutan mahkamah untuk menyekat usul tersebut.

Gobind kemudian merujuk kes 1MDB, di mana Pandikar menghalang perbincangan mengenai isu itu atas alasan subjudis, kerana ia masih di mahkamah.

Pandikar mempertahankan tindakannnya sambil membacakan contoh dari Parlimen India yang subjudis tidak boleh menghalang undang-undang daripada digubal.

“Keputusan kes ini telah pun diputuskan, hakim mahkamah tinggi, permohonan plaintif untuk menyekat Dewan Rakyat dan Marang untuk kemukakan usul ditolak,” katanya.

Usul Tuan Guru Abdul Hadi bertujuan untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah kepada penjara tahun sehingga 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan hukuman sehingga 100 sebatan. Hukuman syariah sekarang adalah maksimum penjara tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan enam sebatan. – HARAKAHDAILY 6/4/2017