Kanak-kanak Kristian sertai khatan anjuran PAS

    TAMBUN: Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun berasal daripada Kuching, Sarawak dan beragama Kristian, merupakan antara 24 peserta khatan anjuran PAS Cawangan Taman Klebang Jaya, di sini kelmarin.

    Advertisement

    Bapanya, Tumi Sadau memaklumkan, keempat-empat anak lelakinya telah berkhatan sebelum ini kerana baginya amalan tersebut didapati  merupakan satu perkara yang baik.

    “Saya mengetahui mengenai khatan ini daripada anak saya. Dia pulang dari sekolah dan meminta izin untuk berkhatan kerana kawan-kawannya mengajak dia sertai program berkhatan ini.

    “Memandangkan khatan ini mendatangkan pelbagai manfaat, jadi saya turut mendaftar anak saya untuk program ini. Saya juga banyak berterima kasih kepada PAS Taman Klebang Jaya kerana telah menjayakan program ini.

    “Selain aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan, mereka di sini juga kerap berkongsi perihal keindahan Islam pada saya,” ujarnya ringkas berkongsi pengalaman sepanjang beliau menetap di Taman Klebang Jaya ini.

    Majlis dirasmikan Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said ini turut diserikan dengan paluan kompang dan berzanji daripada kumpulan Rebana Sri Hibbah Taman Meru 2C diketuai Ismail Hamid.

    Bagi mencipta kelainan, seluruh peserta diraikan dengan rondaan motosikal berkuasa tinggi oleh Alternative Riding Club (ARC) Zon Bandaraya dipimpin Ketua ARC Tambun, Mohammad Izzat Fariq Mohd Anuar.

    Ketua PAS Zon Klebang, Ustaz Rosli Azizan serta Ketua Cawangan PAS Taman Klebang Jaya, Ustaz Rofie Wari turut meraikan hasrat penduduk setempat bagi mentahnik empat bayi yang dibawakan ke majlis ini. – HARAKAHDAILY 26/11/2019