Setiausaha ibarat buah ‘nyok’ – PJ Kedah

    KUALA KEDAH: Seorang Setiausaha merupakan jantung kepada organisasi yang penting kepada tubuh walaupun kerjanya tidak diketahui, namun ternyata antara pengisi penting untuk PAS terus utuh melewati usia 68 tahun.

    Advertisement

    Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahya menyifatkan Setiausaha ibarat buah kelapa yang penting dalam masakan ketika berucap pada penutup Konvensyen Setiausaha Kebangsaan di Kompleks PAS Kedah, di sini kelmarin.

    “Setiausaha ini, orang Kedah duk ibarat macam buah ‘nyok’ atau buah kelapa. Buah ‘nyok’ ini sangat istimewa, pengorbanannya sangat hebat, ia duk di atas tak boleh nak ambik kalau pun naik kena pulas.

    “(Kemudiannya) jatuh terhempap, tak dak orang sambut buah ‘nyok’ ini, tetapi sebiji ‘nyok’ ini bersedia menanti keperitan sampailah dikoyak, dibelah, tempurung dipecah nampak isi kemudian kukuq (kukur).

    “Diperah ‘nyok’ dengan tangan atau mesin, dapatlah hasilnya santan, tetapi bila dimasukkan dalam gulai dan sedap, orang tanya rempah apa guna yang sedap (gulai) ini, tidak pula ditanya santan siapa,” ujarnya.

    Pesannya lagi, ikhlaskan niat dan segala kerja buat kita walaupun mungkin tidak dipandang oleh manusia, tetapi yakin ia menjadi amal bakti di sisi Allah S.W.T serta dijamin ianya tersimpan dengan baik untuk ganjaran di akhirat.

    “Walaupun seringkali setiap kelemahan sesuatu program atau organisasi terus disalahkan kepada Setiausaha tetapi jadilah seperti buah kelapa yang kewujudannya untuk buat jasa,” ujarnya Ustaz Ahmad.

    Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan mengingatkan para Setiausaha agar tidak mudah berpuas hati dengan hasil kerja kerana mesti sentiasa buat yang terbaik dalam setiap tindakan dan program jemaah.

    Sebelum itu, turut bersama di majlis tersebut Penolong-penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Setiausaha Dewan-dewan PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam sesi dialog terbuka dengan para peserta. – HARAKAHDAILY 2/11/2019