Alunan Asmaul Husna sambut detik 2020

    KOTA BHARU: Sambutan tahun baru 2020 di Kota Bharu berbeza berbanding bandar-bandar lain di Malaysia apabila diserikan pengisian agama dan sembang santai.

    Advertisement

    Sedangkan di bandar-bandar lain di seluruh dunia diserikan dengan nyanyian artis serta pertunjukan bunga api.

    Pada sebelah petang diadakan persembahan buskers, pertunjukan busana Melayu Kelantan dan Awang Selamat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.

    Selepas Maghrib diisi pula tazkirah disampaikan pendakwah bebas Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani.

    Kemudian pengunjung yang rata-rata berusia antara 18 hingga 40 tahun mengikuti sembang santai dengan penampilan bekas selebriti dakwah Dr Mohd Zamri Mantop dan ahli parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

    Turut diadakan persembahan qasidah dan aktiviti kayuhan basikal sejauh 30 kilometer, manakala menjelang detik 12 malam dialunkan pula Asmaul Husna dan selawat.

    Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, golongan belia sekarang berhadapan serangan pemikiran yang mahu meruntuhkan umat Islam.

    “Selain itu perkembangan arus teknologi maklumat kini turut menjejaskan peranan belia sebagai bakal pelapis kepimpinan negara,” katanya pada perasmian sambutan tersebut.

    Teks ucapannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Ustaz Wan Roslan Wan Hamat. – HARAKAHDAILY 1/1/2020