Sedia pelan Kompleks Sukan di Bukit Merbau


    KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melakukan persiapan bagi menyediakan pelan serta rancangan untuk membina Kompleks Sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

    Advertisement

    Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, hasrat itu akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak lama lagi.

    “Kita baru buat keputusan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir baru-baru ini bagi kita membuat tindakan seterusnya seperti penyediaan pelan dan sebagainya.

    “Selepas itu kita akan cadangkan kepada KBS untuk membina stadium atau Kompleks Sukan di Bukit Merbau, keputusan ini cuma kita perbaharui semula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan di Wisma Sukan, Jalan Telipot hari ini.

    Turut hadir Pengarah MSN Kelantan, Muhammed Imran Mansoor dan Pegawai Khas Exco, Anas Karimi Ahmad Thani.

    Kerajaan negeri sebelum ini pernah merancang membangunkan Kompleks Sukan di Bukit Merbau, Selising yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 8/1/2020