Dua akal untuk Islam

ISLAM adalah agama ilmu. Mengenali Allah yang merupakan inti utama Islam tidak akan mampu dihasilkan tanpa ilmu yang mendalam. Islam bukanlah satu agama ikut-ikutan yang diwarisi tanpa keperluan ilmu di dada sebagaimana agama lain.

Advertisement

Lihatlah bagaimana ramai manusia merayau-rayau dalam kegelapan dan kesesatan menyembah tuhan-tuhan selain Allah. Itu semua kerana mereka gagal mengenal dan mengesan wujud Allah yang hakikatnya terlalu dekat dan di mana-mana pun. Kerana gagal mengenal Allah dan dengan sebab desakan jiwa manusia yang memerlukan tuhan untuk disembah, akhirnya mereka terpaksa mencipta tuhan-tuhan andaian berdasarkan sangkaan masing-masing tanpa ilmu dan bukti yang pasti.

Islam berkembang dan maju dengan ilmu. Ia memperolehi kekuasaan dan membina tamadun manusiawi yang hebat dengan ilmunya yang kukuh dan benar. Apabila pada masa dan zaman tertentu umat Islam melepaskan diri daripada ilmu dan membiarkan diri mereka diulik kejahilan, nafsu dan keseronokan, negara dan tamadun umat Islam akan merudum dan kalah. Mereka sudah kehilangan pengenalan diri dan jati diri yang sebenar. Mereka sudah menghampiri sempadan kekufuran yang tidak pernah bersandarkan ilmu yang benar.

Ertinya, Islam dan ilmu adalah terlalu bersebati, malahan boleh saja dikatakan bahawa Islam dan ilmu adalah satu. Tanpa Islam, ilmu yang wujud hanyalah terkontang-kanting tanpa tali dan tunjang yang mengikat. Ia ilmu tapi menyesatkan. Apa gunanya? Justeru anda melihat bagaimana Allah di dalam firman-firmanNya menempelak para ilmuan yang gagal menembusi ilmu akhirat sehingga mereka hanya berlegar dalam ilmu dunia yang terlalu sempit. Allah menegaskan bahawa jikalah hidup ini sekadar untuk dunia, akal dari otak haiwan adalah mencukupi untuk dunia ini.

Tetapi akal manusia diciptakan dengan matlamat yang lebih besar. Ia bukan sekadar untuk mengesan keajaiban dunia dan menyembahnya, bahkan akal manusia diciptakan untuk terbang menerawang lebih tinggi merentas alam atas bagi menerokai kehidupan alam malakut samawiyah yang lebih abadi dan hakiki. Ia tidak mungkin dikesan dengan mata dan panca indera. Tetapi ia dikesan dengan akal dan hati yang menjadi peti menjana dan mengaktifkan ilmu yang dimiliki. Di situlah manusia mengenal Allah, alam ghaibNya dan segala-gala yang dijanjikan Allah untuk kehidupan manusia di alam akhirat nanti.

Maka ilmu adalah keperluan pertama dalam Islam. Di mana ilmu yang bermanfaat ditemui, di situlah muslim akan berpusu-pusu kepadanya. Muslim yang benar terhadap agama dan tuhannya akan mendambakan ilmu bagai orang yang lapar dan dahaga. Begitulah sayugianya hidup sebagai seorang muslim. Mereka menjadi musuh kepada kejahilan, memeranginya dan menggantikannya dengan tanaman pohon-pohon ilmu yang subur menghijau.

Justeru terserlahlah keperluan kepada sumber-sumber ilmu. Tersergamlah kebesaran orang-orang yang berilmu. Merekalah sumber dan punca ilmu. Mereka didatangi daripada segenap pelusuk bumi demi menimba ilmu dan mendalaminya. Jika ada kiblat kedua selepas kaabah, maka orang yang tinggi ilmunyalah yang akan menjadi kiblat kedua umat Islam.

Orang berilmu atau para ulamak adalah lambang kekuatan dan kelestarian agama Islam. Mereka menjadi sumber petunjuk, rujukan dan jambatan kepada sumber asal Islam iaitu al Quran dan Sunnah nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Tanpa mereka, tidak mungkin umat Islam mampu terpimpin dengan hidayat yang benar kerana kedua-dua rujukan itu, selain memerlukan kemahiran bahasa Arab yang tinggi, ia juga memerlukan fiqh dan kefahaman yang mendalam.

Kewujudan para ulamak pada sepanjang zaman adalah jaminan ke atas agama ini. Merekalah yang mewarisi keilmuan para anbiya’, menjaganya, mengembangkannya dan mengasingkan yang benar daripada yang palsu dalam beragama. Adalah satu mukjizat yang nyata bahawa hanya agama Islam sahaja yang memiliki sumber hukum asal yang tidak pernah berubah sejak ribuan tahun.

Allah menganugerahkan akal yang sihat untuk menjaga agamaNya. Akal yang sihat adalah terhasil daripada mujahadah yang tinggi di dalam mendekati Allah. Para ulamak yang bertaqwa menghiasi kehidupan mulia umat Islam. Mereka adalah tubuh manusia yang membina kehidupan dengan membina diri sendiri dengan iman yang benar, kefahaman yang tinggi, keikhlasan yang terpancar, akhlak yang mulia dan gaya hidup yang lurus di jalan Allah. Mereka adalah contoh buat kehidupan seluruh manusia.

Justeru umat Islam adalah selamat selama mana mereka meletakkan diri mereka di bawah bimbingan para ulamak di dalam menguruskan hidup mereka yang mesti selari dengan syariat ugama. Dunia yang penuh ujian ini sudah pasti semudahnya melekakan manusia dengan tipu dayanya. Para ulamaklah sebaik-baik pertolongan bagi mengingatkan dan menunjuki mereka jalan yang benar dan selamat.

Tetapi kehidupan ini bukanlah semudah yang ditulis dan digambarkan. Ia terus memakan dan meratah manusia pada setiap masa. Para ulamak juga tidak terkecuali. Mereka juga kadang-kadang dikalahkan oleh serangan-serangan duniawi yang datang daripada pelbagai arah. Jika itu para ulamak yang penuh ilmu di dada, bagaimanalah pula orang awam yang memerlukan bimbingan mereka? Sudah pasti ancamannya adalah lebih besar.

Perhatikan pergolakan dan konflik yang melanda manusia. Ia hasil kesukaran manusia untuk bersatu, hidup saling menghormati dan mengelak perlanggaran ke atas samada hak individu atau ramai. Dunia ini dikongsi dan dipandu oleh akal yang bijaksana dan nafsu yang berkuasa. Mereka ini saling bertengkar dan saling menunjuk kekuatan. Apabila sampai ke kemuncak dan tiada lagi pertimbangan, mereka bersedia bertumpah darah walaupun memakan ribuan dan jutaan nyawa.

Begitu juga para ulamak. Mereka golongan bijaksana. Allah anugerahkan mereka kekuatan akal yang membolehkan mereka memahami ugama dengan baik. Tetapi di dalam menghadapi kehidupan yang penuh kepelbagaian di dalam banyak hal, para ulamak juga berselisih sesama mereka di dalam mememukan jawaban yang terbaik. Perselisihan kadang-kadang menghilangkan akhlak dan timbang rasa. Akhirnya anda melihat para ulamak juga berbalahan sesama sendiri.

Apabila ini berlaku, ia adalah saat yang sukar untuk ditempuh. Lebih-lebih lagi apabila para ulamak sendiri dengan sifat-sifat lemah manusia yang terbaki, mereka sendiri melampaui batas dan akhlak. Daripada mengajak pengikut dan umat kepada panduan ugama, mereka bergerak mengajak kepada pandangan dan pendapat mereka sendiri. Maka kita melihat kumpulan-kumpulan kecil umat yang berkelahi kerana masing-masing merajakan para ulamak masing-masing.

Di sinilah Islam mengembalikan umatnya kepada jalan yang lurus melalui kebijaksanaan atau akalan kedua yang wajib ditaati dan diakuri. Dalam erti, akal pertama yang dimiliki oleh para ulamak dan cerdik pandai bukan jaminan ke atas segala kekalutan dan konflik manusia yang mesti diselesaikan.

Kebijaksanaan kedua adalah akal jamaah. Allah mewajibkan umat Islam hidup berjamaah. Mereka diwajibkan mendengar dan tunduk kepada keputusan yang diputuskan oleh ketua yang memimpin jamaah. Jamaah yang terbesar adalah negara khilafah yang berpandukan ugama. Jika tiada negara Islam seperti di negara-negara bukan Islam atau negara yang fasiq, jamaah mereka adalah himpunan para ulamak yang akan menguruskan kehidupan berkaitan umat Islam.

Jika umat Islam yang gagal berada dalam jamaah adalah membahayakan, maka apatah lagilah jika para ulamaknya juga enggan tunduk pada jamaah bahkan membawa diri masing-masing. Mereka pada hakikatnya akan lebih memecah-belahkan umat Islam jika sekiranya mereka mengambil pendirian berbeza dan menyeru umat Islam kepada pendapat masing-masing. Ia jelas bukan daripada ajaran ugama. Apa-apa yang memecah belahkan kesatuan umat disebabkan keengganan untuk tunduk kepada keputusan ramai adalah salah dan mesti dijauhi.

Islam mewajibkan kesatuan umat. Daripada kesatuan itulah tercetusnya kedamaian, kesejahteraan, kemajuan dan kejayaan. Itulah sebenarnya mengapa Islam mengajak kepada ilmu yang benar. Ilmu yang benar mendorong manusia untuk mementingkan kesatuan dan keharmonian.

Apabila anda memahami ini, adalah mudah untuk anda lebih memahami betapa beruntungnya kita memiliki para ulamak besar yang bersedia berada dalam jamaah dan tunduk kepada keputusan jamaah yang terdiri daripada pemimpin dan bijak pandai ugama yang lain. Keputusan dalam syura jamaah sudah semesti lebih bernilai dan lebih kukuh untuk membina kejayaan umat.

Orang jahil hidup dalam ego merajakan nafsu dan kejahilan mereka sendiri. Orang berilmu juga tiada kurangnya. Keegoan adalah penyakit di dalam diri setiap kita. Ia mesti ditundukkan dan diri mesti dididik untuk merajakan kebenaran ke atas keegoan.

Justeru sentiasalah berada di dalam jamaah Islam. Jika jamaah itu dipenuhi ramai para ulamak, maka itulah jamaah yang paling selamat. Kita berpandukan akal pertama Islam, iaitu akal para ulamak dan kita juga berpandukan akal kedua Islam iaitu akal jamaah. Itulah yang terbaik. Semoga Allah merahmati kita semua.