Perihal WINS (siri 9)

Ekonomi: Solusi masalah kos sara hidup

Advertisement

1. Teras ketiga negara yang dikenalpasti adalah sektor ekonomi. Bagi kebanyakan negara moden, ekonomi dianggap sebagai urusan terpenting bagi sesebuah negara. Agenda-agenda politik yang diambil biasanya ditentukan oleh kepentingan ekonomi. Hatta kolonialisasi yang pernah melanda negara dipercayai atas pengaruh perluasan ekonomi barat. Teori Marxisme menyatakan bahawa konflik sosial antara manusia didorong oleh kepentingan ekonomi.

2. Walaupun ekonomi bukan segala-galanya di dalam Islam, tetapi ia tetap dikira sebagai aspek penting yang perlu diuruskan. Ekonomi yang tidak diurus dengan betul boleh merebak kepada masalah sosial, agama, keselamatan malah mengancam boleh kedaulatan negara. Justeru Islam banyak menekankan aspek ekonomi dalam kehidupan bernegara. Ayat terpanjang di dalam al-Quran (al-Baqarah:282) berkait dengan kegiatan ekonomi.

3. Secara umumnya, PAS melihat masalah ekonomi negara tidak boleh diselesaikan melainkan dengan cara Islam. Ianya adalah sistem yang adil, mengutamakan rakyat, seimbang dan bersifat lestari. Sistem beteraskan kapitalisme hanya menambah jurang antara kaya dan miskin yang akhirnya membawa kepada polarisasi dan perkastaan. Sosialisme pula boleh melembapkan aktiviti ekonomi dan akan menyebabkan negara terus ketinggalan dalam arus modenisasi global.

Islam membenarkan individu mengejar kekayaan seberapa banyak yang mereka mahukan, tetapi mereka tetap perlu bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling. Islam mengambil berat tentang keseimbangan sosio-ekonomi, tetapi tidak sampai terlalu mengongkong sehingga membantutkan perkembangan sektor swasta.

4. Aspirasi WINS 2051 pada fasa pertama dari sudut ekonomi adalah bagi mengurangkan kos sara hidup, menghapuskan monopoli agar agihan hasil dibahagikan secara adil, dan tidak mewujudkan persaingan antara rakyat dan kerajaan dalam perniagaan. Asasnya adalah Firman Allah SWT:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ

supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.
[Al-Hashr: 7]

Juga hadis Nabi SAW:

أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

[HR Bukhari]

5. Dari sudut kos sara hidup, perkara ini menjadi masalah utama yang melanda ekonomi negara hari ini. Dasar-dasar yang diambil kerajaan bagi menampung kekurangan hasil negara akibat kejatuhan harga petroleum, seperti dasar percukai GST telah memberi kesan kepada pendapatan bolehguna rakyat.

PAS menentang pelaksanaan cukai GST kerana ia bertentangan dengan konsep percukaian Islam walaupun GST memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara. Justeru, bagi menghapuskan GST, WINS 2051 melalui Dokumen Hijau telah mencadangkan alternatif kepada GST iaitu mengenakan cukai simpanan korporat dan cukai dagangan saham untuk mengganti hasil yang hilang kerana penghapusan GST.

Cukai yang dicadangkan ini bersifat lebih adil kerana hanya dikenakan kepada golongan berada. Dianggarkan hasil kutipan cukai ini lebih besar daripada hasil kutipan GST iaitu sekitar 50 billion setahun fiskal.

6. Solusi kos sara hidup yang lain diperkenalkan melalui Dokumen Hijau adalah skim Mampu Memiliki Rumah. Ini kerana perbelanjaan rumah menjadi kos paling besar yang ditanggung oleh setiap isi rumah di Malaysia. Ia memberi kesan secara langsung kepada baki pendapatan boleh guna dan kuasa beli rakyat.

Skim ini berbeza dengan skim Rumah Mampu Milik yang ditawarkan kerajaan. Ia tidak memfokuskan kepada pembinaan rumah berkos rendah, tetapi lebih kepada menstruktur semula kaedah pembiayaan rumah berdasarkan konsep Islam. Kaedah yang dicadangkan adalah Musyarakah dan Sukuk al-Ijarah.

Solusi ini bukan sahaja mampu menyelesaikan bebanan kos pembiayaan rumah yang tinggi, bahkan mampu menyelesaikan masalah kelembapan urusniaga hartanah negara yang dihadapi oleh pemaju dan bank. Beban kerajaan juga akan lebih rendah dengan cadangan ini.

7. Ini hanya beberapa contoh yang boleh dibentangkan secara ringkas. Bagi mereka yang mahu memahami solusi yang dinyatakan secara lebih mendalam, dicadangkan agar membaca Dokumen Hijau siri 1 yang telah dikeluarkan. Dokumen ini menerangkan tentang konsep ekonomi Islam dan turut menyenaraikan beberapa lagi solusi lain seperti cadangan menyelesaikan masalah kejatuhan matawang.

8. Kesimpulannya, masalah ekonomi negara tidak boleh diselesaikan hanya dengan menukar individu. Masalah utama adalah berkait dengan sistem yang tidak diperkenankan oleh Tuhan Sekalian Alam. Inilah punca mengapa negara terus dihimpit musibah dan segala jalan yang diambil seolah-olah tidak mendapat keberkatan. Semuanya berkait dengan Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. [Al-A’raf: 96]