Al-Marhum Ustaz Haji ABC yang saya kenali

SEJAK enam tahun lalu, sudah beberapa kali saya cuba menulis sedikit tribut untuk murobbi saya yang mulia, al-Marhum Ustaz Dato’ Haji Abu Bakar bin Chik juga ada menyebut Ustaz ABC. Namun setiap kali cuba menulis, perasaan sedih segera menguasai diri. Tiba-tiba saja hati menjadi sangat sensitif. Seribu kenangan bersama al-Marhum tiba-tiba membanjiri ingatan. Mata pun berkaca. Penulisan pun terhenti serta-merta.

Advertisement

Terlalu besar jasa beliau dalam mendidik dan membawa saya untuk sama-sama terlibat dalam gerakan Islam di Malaysia secara praktikal di lapangan. Malu juga rasanya, mendakwa diri agak dekat tokoh murobbi yang disegani ini. Tetapi mengenangkan saya hanyalah seorang daripada ribuan yang merasakan diri mereka dekat dengan al-Marhum semasa hayatnya, saya gagahi juga menulis mengenai beliau.

Tidak ramai pimpinan PAS yang suka melatih golongan muda ke medan politik. Semua orang sibuk. Bukan sibuk yang dibuat-buat tetapi memang betul-betul disibukkan dengan urusan dakwah, politik, kebajikan, pendidikan dan tarbiyyah.

Namun Ustaz ABC, walaupun sesibuk mana pun, beliau sentiasa ada sedikit masa untuk ‘budak-budak halus’ seperti saya dan beberapa orang kawan-kawan. Tidak banyak masa, tetapi berkualiti dan berterusan. Dia bukan hanya bercakap satu hala dengan kita, tetapi menggalakkan perbincangan. Yang dia lebih suka, jika perbincangan itu ada hasil dan mencetuskan program yang konkrit.

Ya, kadang-kadang beliau mendengar idea kita dengan tekun dan serius. Suatu benda yang tidak dijangkakan oleh orang yang kurang mengenali beliau. Beliau juga sering mengambil berat terhadap masalah peribadi kita, jika beliau mengetahuinya melalui pihak lain. Bahkan jika kita makan dengan beliau, beliau pula mencedok lauk-pauk untuk kita.

Wajahnya memang sering dilihat garang dan serius. Tetapi apabila beliau tersenyum, senyumannya laksana bunga mekar yang sedang kembang. Lebih indah lagi, kalau beliau tersenyum melihat hasil kerja kita yang tidak seberapa, tetapi telah menampakkan usaha yang bersungguh-sungguh.

Bersama beliau, saya dan beberapa orang kawan ‘budak-budak halus’ tidak pernah dimarahi oleh beliau. Tetapi beliau lebih tegas dengan kawan-kawan seangkatan dengan beliau dan anak-anak buah yang telah puluhan tahun bersama beliau.

Beliau paling marah jika berkata ‘tak boleh buat’ sebelum cuba berusaha melakukannya. Jika telah berusaha melakukannya tetapi gagal dan kurang sempurna, tetap akan mendapat penghargaan daripada beliau.

Beliau mengajar erti perjuangan dalam bentuk yang hanya difahami oleh orang yang berjuang. Berjuang ketika susah dan berjuang ketika agak senang. Berjuang sebagai kakitangan awam, dan berjuang sebagai bukan kakitangan kerajaan. Berjuang bersama pasukan elit, dan berjuang dengan pasukan novis. Berjuang ketika kalah, dan berjuang ketika menang.

Beliau bukan hanya berteori, tetapi menunjukkan langkahnya satu persatu, dengan keunikannya yang tersendiri. Nanti kita bukan setakat hanya memahaminya, bahkan kita juga boleh merasainya sendiri. Beliau memang seorang guru yang luar biasa, bukan saja dalam perjuangan Islam, tetapi juga dalam perjuangan hidup.

Ia bukan mengenai diri kita semata-mata. Tetapi mengenai kita sebagai satu mata rantai daripada rantaian perjuangan Islam yang panjang. Ia berkenaan keikhlasan kita kepada Tuhan, dengan jawatan dan ilmu yang Allah S.W.T kurniakan.

Al-Marhum Ustaz ABC cepat dapat membaca perubahan senario politik. Dan beliau cepat bertindak untuk mendapatkan faedah bagi gerakan Islam yang dipimpinnya. Jika ia berbentuk mudarat kepada parti, beliau cepat mengambil langkah awal untuk mengurangkan kesan tidak baiknya kepada parti. Ini adalah satu seni, bukan setakat ilmu.

Jika di bandingkan dalam bidang feqah, beliau bolehlah dikatakan bukan setakat orang yang menghafal matan, hukum-hukum dan menghafal dalilnya, tetapi adalah seorang faqih yang mujtahid yang mana proses mengistinbat hukum secara mahir telah pun menjadi darah dagingnya setiap kali menemui dalil atau mengkaji hukum.

Walaupun begitu, beliau sentiasa berpegang kepada keputusan mesyuarat. Oleh itu beliau sanggup berbahas panjang dalam mesyuarat, kerana menganggap keputusan mesyuarat adalah keputusan Syura yang lebih mesti diikuti dan lebih diberkati. Walaupun pendapat beliau ditolak oleh mesyuarat, beliau tetap akan mengikut dan mempertahankan keputusan mesyuarat.

Ada jugalah beberapa kenangan saya bersama al-Marhum. Walaupun tidak sebanyak ramai lagi kawan-kawan dan anak didik beliau di seluruh negara. Ada yang serius, kelakar, memberikan motivasi, mengajar erti kesabaran dan macam-macam lagi.

Saya sentiasa berharap saya mampu menulisnya. Semoga ada yang boleh mendapat manfaat daripada perkongsian itu. Semoga perkongsian itu dikira menjadi ilmu al-Marhum Ustaz yang sentiasa diambil manfaat sepanjang zaman. Semoga ia dikira antara amal anak Adam yang pahalanya masih berterusan walaupun setelah ketiadaannya di dunia ini.

Tetapi hasrat untuk menulis mengenai orang sehebat itu, terlalu berat walaupun untuk menjadi impian insan kerdil seperti saya; yang serba kerdil daripada segi ilmu, perjuangan, pengorbanan dan peranan dalam mengukuhkan agenda gerakan Islam di negara kita.

Seperkara lagi, pada hujung umurnya, saya mula mencium tangannya sebagai uruf menghormati para ulamak dan orang soleh di nusantara ini. Sebelum itu, hanya bersalam seperti biasa kerana tak ramai orang yang mencium tangannya. Beliau tidak dikenali sebagai ulamak tetapi lebih dikenali sebagai pejuang, guru sekolah swasta, pimpinan demonstrasi dan ketua pemuda.

Kali pertama saya mencium tangan beliau, beliau kelihatan agak terkejut. Maklumlah, ia bukanlah kebiasaan saya untuk tempoh yang agak lama sebelum itu. Kemudian beliau sedikit tersenyum, tanpa sebarang ulasan. Saya bersyukur sangat kerana sempat menunjukkan penghormatan saya kepada beliau seperti itu semasa hayatnya.

Sebagai manusia biasa, beliau tetap ada kesilapan, kekhilafan dan penyesalan. Semoga Allah S.W.T mengampuni segala kesalahan beliau dan memaafkan segala kekhilafan beliau.

Pada hari kembalinya beliau ke rahmatullah, saya melihat wajahnya tersenyum indah di dalam keranda, sebelum solat jenazah. Seolah-olah gembira benar beliau untuk  kembali kepada Tuhannya setelah berhempas pulas beramal, berdakwah dan berjihad sehingga ke nafasnya yang terakhir. Saya melihat Cikgu Mustapha Ali menitiskan air mata di sisi jenazah al-Marhum. Ramai yang bertambah sedih apabila melihat Cikgu Pa yang tiba-tiba bersedih sebegitu rupa.

Sedihnya suasana pada hari itu, dan sangat beremosi sekali. Kenangan itu masih berbekas sehingga ke hari ini.

Semoga sedikit coretan kecil ini memadai untuk saya menunaikan perintah Allah S.W.T, “Dan adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan, sebagai bersyukur kepada-Nya”.

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 5 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 5/7/2020