Pemuda PAS kecam pengeboman di Rusia, elak eksploit

Khalil Hadi

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya pengeboman di sebuah  stesen keretapi metro di St Petersburg, Rusia semalam.

Advertisement

Pengeboman yang mengorbankan nyawa orang awam yang tidak bersalah itu tidak dapat dijustifikasikan, dan bertentangan sama sekali dengan prinsip-prinsip Islam dan norma sejagat.

DPPM mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Rusia, khususnya mangsa dan keluarga mereka yang terlibat dalam pengeboman itu.

Pada masa sama, DPPM juga mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua pihak agar tidak mengeksploit atau membiarkan insiden ini dieksploit oleh pihak-pihak berkepentingan, berlatar belakangkan pergolakan dan persaingan geopolitik yang sedang berlangsung melibatkan Rusia, kumpulan-kumpulan militan, dan kuasa-kuasa luar di Eropah, Asia Barat dan rantau berdekatan Rusia.

Sejarah sekurang-kurangnya dua pengeboman dan insiden terorisme di Rusia telah dieksploit untuk memerangi penentang Moscow di Chechnya dan Kaukasus, iaitu insiden pengeboman apartmen pada 1999 dan krisis tebusan pada 2002, kedua-duanya di Moscow.

DPPM juga berharap mana-mana pihak sama ada Rusia dan pihak lain tidak menjadikan insiden ini sebagai satu alasan membina konsensus untuk mendesak tindakan-tindakan tertentu.

Diharap insiden ini dinilai dan diambil pengajaran daripadanya, mengelakkan sebarang reaksi yang boleh memburukkan lagi keadaan politik global masa kini.

“Bertekad Melebar Muafakat”
“Inilah Penyelesaian Kita”

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
TIMBALAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
5 APRIL 2017 | 8 REJAB 1438 – HARAKAHDAILY 5/4/2017