Inikah sikap seorang pemimpin negara?

    KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahudin Hashim menyangkal dakwaan mengatakan PAS cuba memperbodohkan ahli dan penyokongnya apabila menyokong calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

    Advertisement

    Katanya, tiada istilah mengatakan PAS cuba untuk memperbodohkan sesiapa kerana parti itu tetap meraikan dan menghormati masyarakat majmuk di negara ini.

    “Kita PAS pernah bersama dengan DAP sebelum ini dan bila DAP tidak menghormati PAS dalam perjuangan kita putus dan bersama Umno.

    “Umno bersama BN termasuk MIC dan MCA yang bersetuju dengan kita. Sekiranya mereka tidak bersetuju dengan dasar kita, boleh putus dan PAS tetap tidak akan berganjak dengan dasar perjuangan kita,” katanya ketika diwawancara di Sinar Harian Live dengan tajuk “Pemimpin Jangan Alpa Bila Rakyat Buka Mata”, semalam.

    Terdahulu, beliau diajukan soalan berkaitan kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Dato’ Mahfuz Omar yang menyifatkan PAS telah melakukan satu pembodohan kepada ahli dan penyokongnya apabila menyokong calon MCA dalam PRK Tanjung Piai.

    Mengulas lanjut, Awang berkata pihak yang membuat tuduhan sedemikian perlu belajar tentang sistem demokrasi negara.

    Menurutnya, tidak sepatutnya seorang pemimpin negara bersikap sedemikian.

    “Adakah nak suruh kita (PAS) bergaduh dengan orang Cina?

    “Soalan sebegini dikeluarkan nak suruh kita bergaduh dengan orang India. Inikah sikap seorang pemimpin negara?” tegasnya.

    Tambahnya, PAS sebagai pembangkang tetap bersama meraikan masyarakat majmuk di negara ini. – HARAKAHDAILY 13/11/2019