Muslim belum Mukmin, cabaran umat terlalu besar

    KUALA KANGSAR: Islam adalah agama paling lengkap dan sempurna dalam semua bidang kehidupan, namun masih ramai Muslim belum meyakininya serta mempunyai fikrah berkecamuk dari yang dikehendaki oleh Allah.

    Advertisement

    Malah, disebalik panduan dalam menyelesaikan segala persoalan dan masalah hidup ini, umat Islam sebenarnya turut terlupa bahawa mereka berdepan dengan musuh atau jahiliyah yang juga serba lengkap.

    Muhasabah dan peringatan itu diungkapkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guu Dato’ Hashim Jasin dalam Talaqqi Tafsir Al-Quran Surah Muhammad pada Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini sebentar tadi.

    Jelas beliau, setiap bahagian terdapat dalam Islam, manusia akan berdepan perkara sama dalam jahiliyah di mana seorang Muslim hanya mengambil Islam tanpa mencampurinya dengan jahiliyah apatah lagi kekufuran.

    Terangnya, pada peringkat berikut, manusia bertindak menghalang pelaksanaan ke jalan Allah diikuti melakukan kebatilan, hinggalah akhirnya menolak langsung segala diturunkan Allah kerana mengikuti hawa nafsu.

    Dalam keadaan tersebut menurutnya, manusia itu telah dikuasai hawa nafsu dan hati mereka telah menjadi gelap serta dilaknat Allah, selain pandangan juga buta tidak nampak kebenaran kerana dihasut dan dikuasai syaitan.

    Oleh itu tuntun beliau, seorang Muslim mesti berbeza dari keadaan tersebut iaitulah dengan beriman segala ditetapkan Allah yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sama ada suka atau tidak.

    “Kedua ialah, orang beriman ini dia menolong Allah, dan Allah memperkemaskan, perkuatkan pendirian dia. Kerana keyakinan bahawa Allah itulah yang menjaga dan melindungi mereka. Allah juga berjanji kepada mereka akan masuk syurga.

    “Dan Allah tunjukkan kepada orang beriman ini tanda-tanda kebesaran-Nya dengan mereka ini mendapat hidayah dan Dia tambah lagi hidayah itu.

    “Kemudian orang beriman ini mentaati Allah, Rasul dengan menuntut mereka berinfak tenaga, masa, wang ringgit dan jiwa raga pada jalan Allah S.W.T,” perinci beliau memahamkan sekitar 5,000 peserta program tarbiyah ini.

    Akui beliau, untuk berpegang kepada perkara dikenali sebagai al-iman al-aqli itu sememangnya sukar, namun manusia mesti bermula dengan menerima sepenuhnya Islam sebelum masuknya iman dalam diri.

    Perkara itu disandarkannya dengan memetik kisah Umar R.A memeluk Islam setelah satu tragedi bersama adiknya, Fatimah R.A yang disifatkan Tuan Guru menjelaskan betapa Islam telah ada sebagai al-iman al-aqli Umar.

    “Masalah kita hadapi sekarang, kita ini dah lama mengucap (syahadah), tapi akal kita, fikrah kita tidak Islamik. Pemikiran atau fikrah kita kecamuk. Liberal-lah, fahaman Rahmatan Lil ‘Alamin (tapi) cara bentuk yang luar daripada dikehendaki Allah.

    “Manusia ukur nilai kejayaannya berdasar kebendaan, sedang Islam tidak begitu. Nilai Islam siapa paling takwa. Apa makna takwa? Al-Khauf minal Jalil, takutkan Tuhan. Kedua, al-Amal bit tanzih, beramal dengan syariat diturunkan.

    “Ketiga, al-Isti’dal liyaumil Rahib, sedia untuk menghadapi hari kembali kepada Allah dan keempat, ar-Redha bil Qalil, iaitu redha dengan kadar rezeki dikurniakan Allah,” perinci beliau lagi.

    Tuan Guru Hashim menyedarkan bahawa PAS telah bergerak dalam nilaian tersebut sejak tahun 1951 lagi dari peranan para ulamak yang cuba menyalakan api menerangi kegelapan umat Melayu di mana beramal Islam tanpa fikrah Islamiyah.

    Jelas beliau, ajaran dan syariat Islam itulah cahaya di mana setiap ahli PAS berperanan ‘menyalakan’ Nur kepada umat ini tidak sebagaimana PAN yang ‘celik tetapi tidak nampak’. – HARAKAHDAILY 16/11/2019