‘Dosa itu beban, jangan dipikul’ – TG Sidek Noor

    KUALA KANGSAR: Dosa merupakan beban yang jika dilakukan bermakna menyebabkan kesusahan kepada diri, sebaliknya setiap pejuang memerlukan sifat takwa demi membawa perjuangan.

    Advertisement

    Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Perak, Tuan Guru Sidek Mohd Noor menegaskan pesanan takwa ketika membuka tirai hari kedua Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini pagi tadi.

    Sambil menghuraikan takwa bermaksud mentaati Allah, beliau mengingatkan para peserta supaya menjauhi dosa yang diibaratkan seperti najis dan ikatan tali.

    “Bayangkan kalau badan kita kotor bau busuk, bagaimana kita hendak mengadap Majlis Raja-raja? Dengan diri kita penuh dengan dosa dan noda, bagaimana kita hendak mengadap mendekatkan diri kita dengan Allah?

    “Maksiat kaki mengikat kaki kita daripada jalan Allah. Maksiat mulut mengikat mulut kita daripada berzikir, membaca al-Quran dan berdakwah. Maksiat mata mengikat mata kita daripada melihat al-Quran, kitab-kitab dan melihat jalan menuju fi sabilillah,” ujar beliau.

    Menurutnya lagi, sebagaimana kenderaan yang perlahan perjalanannya disebabkan beban berat yang dibawa, maka begitu juga dosa bakal memberatkan pejuang Islam untuk berjalan kepada Allah melalui usrah, mesyuarat dan menghadiri program parti.

    Dalam masa yang sama, beliau menyeru para peserta supaya tidak membalas serangan jahat musuh dengan menggunakan strategi jahat kerana ianya juga bakal menjerumuskan mereka ke kancah dosa.

    “Jangan layan puak-puak musuh. Dia fitnah kita, kita tak boleh lawan dia dengan fitnah. Imam al-Ghazali kata, jangan basuh najis dengan air najis. Najis dibasuh dengan air mutlak.

    “Tugas kita pejuang berdiri atas kebenaran. Tidak boleh kita melayan teknik strategi musuh yang melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah,” jelas beliau.

    Beliau juga menyuntik motivasi ke dalam diri para peserta melalui kata-kata Syed Qutb dengan menyebut bahawa kebenaran ini walaupun lemah dan didukung oleh pejuang-pejuang yang lemah, tetapi akhirnya ia akan diberi kemenangan oleh Allah.

    Sebaliknya kezaliman walaupun memakan masa yang cukup panjang tetapi ianya tidak akan kekal. – HARAKAHDAILY 16/11/2019