Mengenali politik Islam

Minda Presiden PAS

Advertisement

Kepada sesiapa yang bertanya: Mengapa PAS yang mendukung politik Islam berubah-ubah pendekatan, langkah dan sikapnya dalam menangani isu dan penyelesaian masalah sehingga ada yang cepat menuduh PAS tidak beristiqamah dan mempermainkan agama Islam?

Perlu difahami bahawa Islam adalah Al-Din mengikut Bahasa Arab yang dijadikan Bahasa Al-Quran, berbeza dengan perkataan ‘agama’, ‘religion’ dan perkataan lain yang seerti dalam bahasa lain.

Maksud Al-Din itu menyeluruh dan sempurna dalam segala aspek kejadian alam seluruhnya di sepanjang zaman, sama ada makhluk manusia atau haiwan berakal yang mempunyai jasad, hidup bermasyarakat dan berpolitik serta mengalami perubahan dan perbezaan, bercirikan madani atau hadhari yang dipimpin dan ditadbir mengikut fitrah yang berpandukan hidayah (petunjuk) Allah yang dinamakan Islam.

Maka aspek politik adalah sebahagian daripadanya yang tidak berpisah. Ia sangat berbeza dengan teori yang memisahkan politik daripada agama.

Firman Allah:

“Adakah mereka mahukan (ajaran) lain daripada Din Allah, padahal telah Islam semua penduduk di langit dan di bumi, sama ada secara taat (mengikut pilihan) atau terpaksa (mengikut fitrah) dan semuanya akan dipanggil kembali menemui Allah”. (Surah Aali ‘Imraan: 83)

Makhluk manusia yang bercirikan politik ini diberikan petunjuk Islam mengikut Al-Quran yang diwahyukan dan teladan pelaksanaannya oleh Rasulullah S.A.W. dan generasi awal yang diberikan ilmu dan tarbiah, sehingga berjaya mencipta tamadun yang berbeza dengan teori dan ideologi ciptaan manusia atau agama lain yang telah diselewengkan daripada Islam yang dibawa oleh semua para Rasul A.S. yang menetapkan urusan politik Islam berpandukan akidah, syariat dan akhlak yang berwawasan dunia dan akhirat, berkonsepkan amal yang berkait dengan dosa dan pahala.

Maka Islam tidak boleh disamakan dengan agama dan ideologi lain walaupun ada titik persamaan seperti adanya perubahan pendekatan dan strategi berbeza dalam amalan politik Islam, kerana Islam ini berbeza dasar, konsep dan matlamat dengan ajaran yang lain.

Ada daripada kalangan yang buta Al-Quran atau kabur ilmunya cuba menulis berkenaan Islam, laksana kisah orang buta yang memperkenalkan binatang gajah dengan meraba salah satu anggota badan tanpa melihat badan yang besar secara menyeluruh.

Lalu ditafsirkan gajah itu sekadar yang dirasakan oleh tangannya sahaja. Ada yang mengatakan gajah seperti batang pokok kalau sekadar meraba betis dan pahanya, ada juga dikatakan seperti tali kalau meraba ekornya dan seterusnya menyatakan pengenalan yang salah tanpa melihat seluruh jasadnya.

Begitulah dibawanya huraian Islam secara jahil dan dikaitkan pula dengan aliran ciptaan manusia mengikut kejahilannya dengan dinisbahkan Islam kepada teori yang menghantui pemikiran moden terkini seperti sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang tiada kaitan dengan Islam, bahkan bercanggah dengannya. Sehingga dikatakan pula bahawa Islam ini ada yang ortodoks, konservatif dan moderat, sama seperti agama lain yang dipinda oleh agamawannya atau teori dan ideologi politik lain yang direka cipta.

Sebenarnya Islam daripada Allah hanya satu sahaja, walaupun dibawa oleh para Rasul yang ramai, ada pelbagai mazhab dan mengalami perubahan zaman dan masyarakat yang berbeza serta berlainan. Tidak terkira kemunculan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar yang tidak termasuk sebahagian daripada Islam. Adapun Islam yang sebenarnya istiqamah tetap terpelihara dengan mukjizat ilmu yang gagal dikelirukan.

Para ilmuwan Islam yang muktabar disebut ulama’ banyak meninggalkan warisan ilmu yang tetap dipelihara secara riwayat dan dirayat bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, melaporkan pelaksanaan Islam secara menyeluruh dan mengikut situasi, realiti dan zaman masing-masing yang tetap menjadi rujukan ilmu yang dipelihara sehingga tidak boleh diselewengkan seperti agama lain, kerana Allah tetap memeliharanya:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya (daripada penyelewengan)”. (Surah Al-Hijr: 9)

Ajaran Islam itu ada yang tidak berubah sejak Nabi Adam A.S sehingga Hari Kiamat, iaitu dalam perkara rukun dan asas serta perkara di luar kemampuan akal dan ilmu manusia yang dinamakan ‘thawabit’, yakni mengandungi rukun-rukun akidah, syariat dan akhlak, perkara ghaib dan janji Allah.

Ada juga dalam Islam perkara cabang syariat yang berbeza antara zaman para Rasul yang berlainan, bahkan berlaku pada zaman rasul akhir zaman, Nabi Muhammad S.A.W. yang dinamakan ‘mutaghayyirat’ (yang menerima perubahan) dalam perkara yang berlakunya perbezaan masyarakat, masa, tempat, situasi dan realiti.

Maka ada hukum yang nasikh (yang membatalkan hukum terdahulu) dan mansukh (yang dibatalkan oleh hukum selepasnya) dan juga dinamakan perkara ijtihadiyyat dalam perkara umum mengikut kajian semasa. Bukan sahaja berlaku berlainan pendapat dalam satu mazhab, bahkan juga dalam mazhab yang sama.

Justeru itu, diwujudkan Ulum Al-Quran dan Ulum Al-Hadis (beberapa jenis ilmu berkaitannya) dan satu cabang dalam Feqah Islami dalam aspek politik yang dinamakan Siyasah Syar’iyyah, Ahkam Sultaniyyah dan Turuq Hukmiyah, secara khusus berkaitan hukum politik memerintah dan mentadbir negara.

Rasulullah S.A.W. bertanyakan Mu’az bin Jabal R.A. apabila ditugaskannya ke negeri Yaman:

“Bagaimanakah kamu membuat keputusan apabila adanya sesuatu masalah? Mu’az menjawab: “Berpandukan Kitab Allah (Al-Quran)”. Ditanya: “Kalau tiada dalam Kitab Allah?”. Mu’az menjawab: “Berpandukan Sunnah Rasulullah”. Ditanya lagi “Kalau tiada dalam Sunnah Rasulullah?” Mu’az menjawab: “Saya berijtihad (mengkaji dengan ilmu dan kebijaksanaan) dan saya tidak menyimpang (daripada dasar dan rukun)”. (Riwayat Abu Daud)

Para sahabat yang ditugaskan di daerah yang berbeza dan masyarakat yang berlainan memahami ilmu Al-Quran dan As-Sunnah serta sebab-sebab turun ayat dan hadis yang menjadi konsep umum dan sebab-sebab yang khusus yang hukumnya tidak menjadi konsep yang tetap.

Maka para ulama’ memberi pandangan yang berlainan dalam furu’ (cabang) yang bukan rukun dan dasar dalam hukum Islam, sehingga melahirkan pelbagai mazhab para sahabat dan muridnya dalam kalangan tabiin dan selepasnya.

Contohnya, Rasulullah S.A.W. menolak bantuan bukan Islam pada masa peristiwa Badar, sebaliknya menerimanya selepas Fathu Makkah, kerana situasi yang berbeza.

Pada zaman para Khulafa’ Ar-Rasyidin, mereka bersepakat memilih Khalifah daripada kalangan Quraisy menjadi ketua negara, kerana kabilahnya mendominasi masyarakat Islam pada zaman itu. Apabila Arab Quraisy tidak lagi mempunyai kelayakan tersebut, maka diganti kepada kaum yang lain, berpandukan firman Allah:

“Dan jika kamu berpaling (tidak menunaikan kewajipan menegakkan Islam) nescaya Allah menukar kaum yang lain daripada kamu, kemudian mereka tidak bersikap seperti kamu”. (Surah Muhammad: 38)

Firman Allah:

“Dialah Tuhan yang telah membangkitkan seorang Rasul daripada kalangan mereka yang buta huruf, lalu membaca kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan diri mereka, mengajar mereka akan Kitab dan Kebijaksanaan, padahal mereka sebelumnya dalam kesesatan yang nyata. Dan ada pula yang lain dari kalangan mereka yang tidak sempat bertemu sezaman mereka. Dialah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Itulah kurnia Allah yang diberi kepada sesiapa yag dikehendakinya dan Allah itu mempunyai kurnia yang sangat besar”. (Surah Al-Jumu’ah: 2-4)

Maka dilantik ketua negara daripada kalangan bukan bangsa Arab memimpin umat Islam pada zaman dan daerah negeri yang berbeza.

Dalam hukum memberi kerakyatan kepada bukan Islam dan melantik bukan Islam dalam Menteri Kabinet berlaku khilaf (perbezaan pendapat) antara Imam Al-Haramain Al-Juwaini dalam kitab Al-Ghiyatsi yang berada dalam masyarakat yang tidak majmuk di Hijaz, dengan Imam Al-Mawardi yang berada dalam masyarakat majmuk di Iraq.

Kedua-duanya dalam satu Mazhab Syafie, kerana memahami Siyasah Sya’riyyah dan Maqasid Syar’iyyah yang diizinkan berijtihad dan pandangan berbeza yang tidak terkeluar daripada rukun dan asas hukum Islam. Pendekatannya tidak seperti konsep Barat yang dinamakan liberalisme, pluralisme dan sekularisme yang bukan daripada konsep Islam.

Sekularisme adalah konsep kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing daripada agama atau kepercayaan agama.

Dalam satu sudut, sekularisme dapat memberikan hak untuk menjadi bebas daripada peraturan dan ajaran agama, dan kebebasan daripada mengenakan agama kerajaan terhadap rakyat dalam sebuah negara yang berkecuali pada hal ehwal agama. Dari sudut lain pula, ia merujuk kepada pandangan bahawa aktiviti manusia dan keputusan, khususnya berpolitik harus berasaskan pada bukti dan fakta yang tidak berat sebelah dengan pengaruh keagamaan.

Sekularisme mendapatkan akar intelektualnya daripada ahli falsafah Yunani dan Rom seperti Marcus Aurelius dan Epicurus, pemikir pada zaman Pencerahan seperti Denis Diderot, Voltaire, John Locke, James Madison, Thomas Jefferson dan Thomas Paine, dan pemikir bebas, agnostik dan ateis seperti Bertrand Russell dan Robert Ingersoll.

Liberalisme pula adalah falsafah yang meletakkan kebebasan sebagai nilai politik tertinggi, sehingga mengatasi petunjuk agama. Fahaman ini tidak diizinkan memasuki ajaran Islam yang sangat sempurna petunjuk Allah dalam perkara wajib, halal dan haram yang tidak mungkin mampu dicapai oleh akal manusia.

Namun ada perkara yang diizinkan oleh Allah yang mampu dicapai oleh manusia mengikut kadar sempadan kemampuannya. Maka konsep liberalisme yang melanggar atau melampaui sempadan kemampuannya akan terbabas merosakkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat, sehingga mengheret manusia seperti binatang tanpa akal.

Pluralisme agama merupakan konsep fahaman yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai yang dikatakan ada titik persamaan seperti percaya kepada adanya Tuhan (Allah), keadilan sejagat dan akhlak yang mulia.

Islam melaksanakan konsep toleransi terhadap agama-agama lain dan menegakkan tiada paksaan dalam agama, serta adil terhadap semua, tetapi tidak menganggap semua agama adalah sama.

Dengan erti kata lain contohnya, Islam tidak menganggap bahawa akidah kepercayaan kepada Tuhan yang disembah oleh orang Islam sama akidahnya dengan agama lain yang disertakan dengan syirik yang menjadi dosa besar mengikut Islam.

Perbezaan Islam dibandingkan teori sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama adalah dengan mengakui perbezaan dan identiti agama dan ideologi masing-masing, tetapi tegas bahawa Islam sahaja yang benar, kerana firman Allah:

“Dan sesiapa yang percaya kepada yang lain daripada Islam, nescaya dia tidak diterima dan di Akhirat nanti dia termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah Aali ‘Imraan: 85)

Namun Islam berkonsepkan tidak ada paksaan dalam menganut apa-apa agama dan terpulang kepada penganut agama masing-masing percaya agamanya yang benar, berpandukan firman Allah:

“Tiada paksaan dalam beragama…”. (Surah Al-Baqarah: 256)

Al-Quran menegaskan bahawa amal soleh yang sama tidak berdasarkan kepada akidah tauhid tidak diterima di sisi Allah. Firman Allah:

“Demi sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku dan rasul sebelumku, bahawa jika sekiranya kamu menyekutukan Allah, nescaya terhapuslah amalan kamu dan kamu termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah Az-Zumar: 65)

Konsep kebajikan, adil, hak dalam perkara amar makruf dan kemungkaran yang diharamkan oleh Islam seperti rasuah, zalim dan lain-lain, hanya sama dari sudut jenama dengan ajaran bukan Islam, tetapi berbeza dasar, roh dan konsepnya.

Maka dalam aspek politik Islam yang paling menjadi sasaran musuhnya atau kalangan yang terpengaruh dengan musuh wajib berwaspada, bahawa jangan sesekali mengheret Islam dengan fahaman yang tiada kaitan dengannya, atau mahu menumpang dan bertopengkan Islam bagi mengelirukan mereka yang benar-benar mahu mencari kebenaran, atau bertujuan jahat bagi merosakkan kemurnian Islam, kerana cahaya Islam tetap tidak mampu dipadamkan dengan segala cara dan penipuan.

Kini adanya daripada kalangan yang cuba menyamakan Islam dengan yang lain, melalui pendekatan Freemason dan agendanya dalam seminar dan forum yang dikatakan perbandingan agama yang ilmiah, tetapi mereka tidak suka pendekatan muzakarah mencari kebenaran seperti pendekatan yang dilakukan oleh Dr Zakir Naik kerana takut terbukti kebatilannya terbongkar.

Gerakan Islah dan Tajdid atau Reformasi yang sebenar pada setiap zaman dalam masyarakat Islam memperkenalkan musuh berjenama baru dan menangani cabaran baru terhadap Islam, bukannya menyesatkan umat dengan kata-kata menarik yang dicipta bagi mengelirukan terhadap Islam.

Firman Allah:

“Dan demikian itulah kami jadikan bagi setiap Nabi itu musuh yang terdiri daripada syaitan manusia dan jin yang meniupkan sesama mereka kata-kata yang indah lagi menarik bertujuan menggoda…”. (Surah Al-An’aam: 112)

PAS menugaskan Majlis Syura Ulama’ yang sentiasa berperanan secara berjamaah bersama kepimpinan di semua peringkat bagi mempertahankan dasar dan matlamat perjuangan Islam, dan berijtihad menangani cabaran dan perubahan semasa dengan memelihara konsep istiqamah yang wajib dipertahankan, serta memahami perubahan dan terus memimpin bersama Islam.

Maka dapat dibuktikan betapa PAS tidak hilang jati diri dengan hilangnya pemimpin atau dirampas kuasa kerajaan dan dilarikan kerusinya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 28 Rabi’ul Awwal 1441 / 25 November 2019