Kelantan sedia hadapi Liga Premier Takraw

    Anggota Exco bersalam dengan pasukan yang menyertai Kejohanan Sepaktakraw Piala Timbalan Menteri Besar Kelantan.

    KOTA BHARU: Kelantan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Liga Premier Sepak Takraw (STL) Champions Cup yang akan berlangsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studio, Johor akhir bulan ini.

    Advertisement

    Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Zuraidin Abdullah berkata, pasukan Kelantan Worrior menyasarkan layak pada peringkat separuh akhir pada pertandingan yang akan diadakan pada 22 hingga 28 Disember ini.

    Katanya, sasaran Kelantan pada STL Campion Cup layak ke separuh akhir memandangkan ada penyertaan dari pasukan luar negara termasuk Korea.

    “Walaubagaimanapun kita optimis kita boleh sampai tahap itu dengan kemasukan dua tenaga baru dalam pasukan Kelantan Worrior iaitu Wutthikai Rattanasut dan tekong terbaik musim ini, Ahmad Aizat Nor Azmi,” katanya selepas perasmian penutup Kejohanan Sepaktakraw Piala Timbalan Menteri Besar di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) petang semalam.

    Kejohanan itu disertai 15 pasukan. Juara milik pasukan Chetok A selepas menewaskan Kuala Krai C dengan agregat 2-1, manakala tempat ketiga pula disandang pasukan Pasir Mas.

    Turut hadir hadir Pengarah Urusetia Belia dan Sukan, Nasruddin Mahmud Muhaidin dan Pengurus Pasukan Kelantan Worriors, Ahmad Shazwan Muhammad Hassan.

    Oleh: MUHAMMAD ARIF ISMAIL – HARAKAHDAILY 9/12/2019