Tahniah PDRM, jadikan agama syarat sertai polis

    SAYA merujuk kepada kenyataan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abd Rahim Jaafar ketika menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Peringkat Kontinjen Terengganu baru-baru ini yang mahu memastikan setiap permohonan anggota baharu PDRM perlu lulus ujian penilaian agama dan moral sebelum diterima masuk ke dalam agensi itu bermula tahun hadapan.

    Advertisement

    Saya menyokong penuh usaha PDRM ini kerana anggota yang lemah didikan agama dan penghayatan nilai-nilai murni dilihat menjadi faktor utama kemerosotan nilai integriti dalam kalangan anggota PDRM. Di kesempatan ini, saya juga ingin menyarankan agar PDRM turut memulakan langkah-langkah pemerkasaan aspek agama dan spiritual dalam kurikulum atau latihan kepada polis bagi mengurangkan kes-kes salah laku jenayah yang dilakukan oleh anggota PDRM. Pelaksanaan Perkhidmatan Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian Islam (DPMKI) di Bawah Kepimpinan Organisasi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) boleh dijadikan model untuk PDRM.

    Saya percaya aspek agama dan moral dapat membantu mengurangkan salah laku polis, dan kerajaan tidak perlu bersusah payah mengeluarkan belanja yang besar untuk mewujudkan badan yang menyiasat salah laku polis seperti mana yang ingin diwujudkan di bawah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Aspek agama dan kerohanian boleh menjadi benteng kepada anggota polis jika ia dilaksanakan dengan betul.

    “Islam Memimpin Perpaduan”

    YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
    Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 12/12/2019