Penguatkuasaan lemah, cili import masih berleluasa

    Saya menyifatkan kelemahan dan kelompangan dalam sistem penguatkuasaan undang-undang penyebab utama cili import Vietnam masih lagi berleluasa dalam pasaran Malaysia. Penyeludupan cili import tanpa kawalan penyebab utama kemerosotan pasaran cili tempatan sekali gus pendapatan peladang dan peniaga turut terjejas.

    Advertisement

    Persoalannya, sejauh mana keberkesanan tindakan dan sekatan dilakukan bagi mencegah kemasukkan cili import beracun terutama dari Vietnam terutamanya ke Malaysia dipantau dan dibanteras secara serius oleh Kerajaan?

    Saya difahamkan bahawa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyatakan sehingga hujung tahun ini tiada lagi cili import Vietnam. Namun begitu, mengapa kemasukan cili merah dari Vietnam masih lagi didapati di pasar raya?

    Sehubungan itu, saya berharap Kerajaan terus melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan secara tegas dan konsisten termasuk kawalan permit import (AP) cili import secara ketat agar tidak mudah diselewengkan.

    Selain itu, saya turut mengesyorkan supaya menteri berkaitan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) khususnya memperhebatkan lagi promosi kelebihan cili tempatan berbanding cili import dari segi kualiti serta tahap kebersihan dan keselamatan selain memberi kesedaran kepada masyarakat bahaya cili import yang menggunakan racun perosak.

    “Islam Memimpin Perpaduan”

    YB CHE ALIAS HAMID
    Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 26/12/2019