Solat Jumaat dan penting diri.

ALHAMDULILLAH, beberapa minggu ini kita telah diberikan ruang oleh Allah SWT untuk menunaikan Fardhu Jumaat. Terima kasih Kerajaan dan Jabatan Agama Islam Negeri. SOP juga kemas dan disambut baik oleh masjid dan surau.

Berapa ramai yang terpilih? Dan siapa yang terpilih? Ada yang melihat ini bagai keadaan terharu seperti terpilih ke syurga Allah. Sungguh nikmat. Ada yang pulang hampa, kerana tidak terpilih dan berusaha untuk masuk, pujuk dan rayu jawatankuasa masjid. Tiada terkata.

Seorang sahabat bertanya, “Badzli tidak terpilih ke untuk solat Jumaat?” Jawab ringkas, “Tidak”. Seorang lagi sahabat menyapa “Saya dah 3 kali dah terpilih”. Saya jawab “Alhamdulillah. Tapi sahabat, bagaimana dengan sahabat yang lain yang tidak terpilih, apakah kita tidak rasa bersalah? Seperti kita hanya penting diri sendiri?”.

Advertisement

Kita perhatikan juga di media sosial, ada yang telah terpilih hampir setiap minggu dan merasa bangga. Dalam tidak sedar kita mementing diri sendiri seolah-olah kita nak masuk syurga Allah seorang diri. Seharusnya kita ada perasaan untuk semua kita boleh masuk syurga bersama-sama.

Saya sendiri pernah memohon dan pernah dapat, tapi saya menolak apabila melihat ramai diantara sahabat yang sedih kerana tidak terpilih. Terutama sahabat-sahabat peringkat ayah-atuk kita. Mereka rindu untuk bertandang ke rumah Allah. Alhamdulillah, saya merupakan salah seorang imam di surau di Surau S2 Heights Seremban 2. Dan kami terdiri dari 4 orang imam bergilir-gilir menghidupkan surau dengan hanya menetapkan jadual imam dan bilal sahaja dibenarkan. Surau kami menjadi fardhu ain keatas kami, dengan niat Allah merahmati Qariah kami.

Oleh kerana nikmat ini bukan Allah berikan kepada semua, maka buatlah keputusan terbaik. Jangan ada bersikap penting diri. Semoga semua diantara kita dikurniakan Syurga dan tiada yang terkecuali.

BADZLI BAKAR- HARAKAHDAILY 19/6/2020