Perutusan menyambut Ramadhan Al-Mubarak

SAYA bagi pihak seluruh Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu kepada seluruh ahli-ahli PAS dan seluruh kaum muslimin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Advertisement

Bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan yang penuh dengan rahmat, yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, ataupun yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, iaitu bulan yang di awal-awalnya adalah rahmat oleh Allah, dan pertengahannya adalah keampunan, dan terakhir akan terbebas daripada api neraka.

Saya berdoa dan mengharapkan, gantungkan harapan kepada Allah SWT, semoga kita umat Islam dapat mengambil peluang daripada keberkataan, rahmat yang disediakan oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini.

Kita akan dapat mengambilnya sebanyak mungkin menerusi pendekatan diri kita kepada Allah, melalui jalan-jalan yang disediakan oleh Allah sama ada menerusi membaca al-Quran, memperbanyakkan zikir, bersedekah dengan sebanyak-banyaknya, kerana inilah bulan yang paling diberkati, yang paling dimustajabkan oleh Allah SWT.

Marilah sama-sama kita mengambil peluang daripada Ramadhan ini untuk mencapai matlamat pada mana yang diletakkan oleh Allah SWT, bahawa matlamat kita, matlamat difardukan Ramadhan untuk membina taqwa ataupun untuk menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Orang yang bertaqwa kepada Allah adalah orang yang mengikut apa jua perintah Allah menghindar diri dari apa jua yang dilarang oleh Allah, atau dengan lain perkataan sebagaimana telah disifatkan oleh Syaidina Ali Karamallahu Wajhah, orang yang bertaqwa adalah takut kepada Allah SWT, apa jua yang kita lakukan mesti diukur.

Sama ada Allah Taala reda ataupun Allah benci, Allah marah atau Allah murka, itulah ukuran yang mesti dilakukan oleh kita dalam apa jua tindakan, dalam apa jua tingkah laku, yang akan kita laksanakan.

Dan yang kedua, mesti beramal mengikut wahyu yang diturunkan oleh Allah, iaitu kita mesti bertindak mengikut wahyu, mengikut ayat-ayat ataupun syariat yang diturunkan oleh Allah sama ada perkara yang berkaitan dengan peribadi, ataupun yang berkaitan dengan keluarga, ataupun apa jua yang berkaitan dengan masyarakat dan juga yang berkaitan dengan negara.

Mestilah selaras dan selari dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah untuk kita mencapai darjat ketaqwaan kepada Allah.

Dan yang ketiga ialah mesti bersedia menyediakan kelengkapan dan bekalan untuk kita berhadapan dengan hari yang kita akan tempuhi iaitu hari selepas daripada kematian yang mana pada waktu itu Allah Taala sebut iaitu hari yang kita tak guna harta dan anak-pinak, melainkan orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.

Selamat berpuasa dan selamat menunaikan ibadah kepada Allah!

Dato’ Ustaz Haji Husain Awang,
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
29 Sya’ban 1438H/ 26 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 26/5/2017