Arak: Kenyataan MP DAP memalukan

KENYATAAN seorang Ahli Parlimen DAP yang secara sinis menempelak kenyataan pimpinan PAS agar menggantung jualan arak dilihat satu kenyataan yang amat memalukan.

Dr Kelvin Yii, Ahli Parlimen Bandar Kuching sebagai mana dilaporkan dalam media secara sinis agar PAS juga mencadangkan gantung jualan kereta, bukan sekadar gantung jualan arak.

Bagi saya, kenyataan ini bagaikan Dr Kelvin tidak membaca fakta kes kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk. Apatah lagi kemalangan membabitkan pemandu mabuk ini amat kerap berlaku hingga meragut nyawa orang awam.

Advertisement

Kenyataan secara semberono oleh pemimpin DAP ini menjelaskan lagi wajah sebenarnya parti dan kepimpinan parti itu yang tandus idea malah tidak melihat keresahan rakyat dalam isu ini sebagai keutamaan.

Saya amat memandang serius kes kemalangan mati membabitkan pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

Bagi Saya, cadangan PAS kepada kerajaan agar menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baru dapat diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk adalah tepat.

Ini kerana dalam pada penggantungan itu dibuat, Kerajaan PN juga perlu menubuh Jawatankuasa Khas Kabinet melibatkan beberapa kementerian untuk bertindak segera tangani kes ini.

Saya ingin menegaskan bahawa nyawa orang awam adalah satu keutamaan yang harus difikirkan oleh kerajaan secara serius kerana hal ini telah menjadi satu lagi punca pertambahan kemalangan khasnya kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya.

DAP tidak perlu berpolitik secara budak-budak kerana kes ini membabitkan nyawa orang awam yang tidak bersalah.

Selagi arak dibenarkan dijual secara berleluasa, maka pemabuk yang menjadi ‘pemandu berbahaya’ ini akan mencari mangsa di jalanraya lagi.

MOHAMMAD IBRAHIM
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Selangor- HARAKAHDAILY 28/5/2020