Cadangan hapus sekolah agama, sekolah pondok hina Perlembagaan Persekutuan

1. ISU cadangan untuk menetapkan sistem sekolah satu aliran menjadi topik perbincangan kalangan warga akademik dan pendidik kebelakangan ini. Ia menimbulkan polemik dan perbincangannya menjurus kepada persoalan impak positif dan negatif terhadap perkara tersebut.

Advertisement

URidhuanMN2. Sememangnya sekolah satu aliran memberi kesan yang baik kepada rakyat dan negara, sebagaimana matlamat utama penubuhannya, iaitu untuk mewujudkan perpaduan nasional yang tulen, sejati dan harmoni. Ia juga mampu membentuk identiti dan jati diri rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Lantaran kerana dibimbangi akan wujud perbezaan serta masalah polarisasi kaum dan penguasaan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kerana setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah berlainan.

3. Cadangan ini tidak pula menolak bahasa ibunda masing-masing kerana perbezaan budaya, adat, bahasa adalah dinamika yang diterima di negara ini. Ia tidak bertujuan menghapuskan bahasa-bahasa ibunda masing-masing, kerana ia boleh diterapkan dalam sistem persekolahan satu aliran yang akan dilaksanakan kelak.

4. Namun demikian, tidak wajar buat pihak yang menentang cadangan sekolah satu aliran ini sehingga membabitkan cadangan untuk menghapuskan sekolah agama dan sekolah pondok. Pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Institut untuk Demokrasi dan Hal-Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan yang disiarkan dalam media beberapa lalu berkaitan isu ini adalah pandangan ekstrem, melampau dan luar dari konteks.

5. Beliau cuba menyamakan sekolah pondok, sekolah agama, MRSM, sekolah berasrama, sekolah antarabangsa, sekolah mubaligh Kristian dan sekolah vernakular. Ternyata Wan Saiful tidak memahami isu di sebalik polemik yang berbangkit. Beliau gagal memahami aspirasi dan matlamat di sebalik cadangan mewujudkan sekolah satu aliran.

6. Dalam hal ini, sekolah agama, sekolah pondok, tahfiz, dan sekolah Arab di negara ini selari dengan semangat dan falsafah Perlembagaan Persekutuan. Sekolah-sekolah ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sebaliknya sekolah-sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Beliau perlu memahami bahawa Perlembagaan menetapkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan menurut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan yang merupakan sendi dan kerangka Asas Perlembagaan Negara iaitu Fasal 153.

7. Jika sekolah agama dan sekolah pondok dihapuskan, maka tidak lagi wujud usaha untuk menghormati Perlembagaan Negara. Sistem pendidikan agama sudah dinafikan untuk diterapkan dalam sistem persekolahan yang menjurus kepada permasalahan yang lebih besar, iaitu penghinaan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi negara malah menghina Raja-Raja Melayu sebagai penaung bagi hal ehwal agama Islam.

8. Cadangan sekolah satu aliran boleh dipersetujui kerana banyak keperluan dan faktor yang mendesak, dan boleh juga dibantah kerana beberapa faktor tertentu. Kita meraikan perbezaan pandangan, tetapi jangan menjadikan perbezaan ini sebagai platform untuk mewujudkan jurang yang lebih mendalam. Sepatutnya Wan Saiful fokus kepada isu yang dibangkitkan, dan tidak terbawa-bawa sehingga membantah suatu yang sudah dipersetujui bersama. Meraikan pandangan digalakkan, tetapi jangan mengheret sentimen yang lebih rumit untuk diselesaikan. ‘Sarang tebuan usah dijolok, kerana jika disengat memberi bisa yang sukar disembuh’.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat