PRU14: BN atau PH, apakah pilihan PAS?

PINTU perbincangan sentiasa dibuka PAS dengan mana-mana pihak yang bertujuan kebaikan demi kepentingan Islam, negara dan rakyat. Tetapi keputusan muktamadnya terletak kepada kekuasaan tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama (MSU) dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta wajib dipatuhi oleh seluruh peringkat parti.

Advertisement

Menjelang PRU14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, pelbagai pihak menunjukkan minat untuk bersama PAS. Pelbagai tawar menawar dikatakan sedang berlaku sama ada PAS akan mengadakan kerjasama dengan Umno-BN atau kembali kepada Pakatan Harapan (PH).

Hingga kepada perkembangan paling mutakhir dari ‘Retreat’ PAS Pusat baru-baru ini, terdapat media melaporkan PAS akan menggunakan strategi atau pendekatan berbeza di setiap negeri mengikut kesesuaian masing-masing sebagaimana maklumat dari satu sumber.

Tiga pimpinan utama negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli; Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Setiausaha PAS Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan mengupas kesiapsiagaan pihak mereka berkaitan perkara tersebut. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Menurut Mohd Shukri, desas desus PAS akan bergabung dengan BN atau kembali bersama PH kedengaran kini kerana PRU14 semakin hampir. Walhal katanya, perbincangan yang dilakukan PAS hanyalah demi kepentingan berkaitan dan bukan untuk bergabung dalam pilihan raya.

Jelas beliau, PAS sentiasa terbuka untuk bertemu dengan sesiapa sahaja, berbincang bagi mendapatkan maklumat atau penyelesaian. Perkara itu terang beliau, selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diamalkan kini.

“PAS tidak akan menolak untuk bertemu sesiapa sahaja yang ingin bertemu atau bekerjasama. Hal ini menunjukkan jiwa besar PAS sebagai sebuah Jamaah Islam,” ujar beliau yang juga Adun Sanglang.

Menyentuh mengenai tahaluf siyasi atau kerjasama politik melibatkan keperluan untuk berbuat demikian dengan mana-mana pihak, tegasnya, kajian mendalam akan dilakukan PAS terlebih dahulu serta dirujuk kepada MSU.

Ini ujar beliau, bagi memastikan sebarang bentuk perjanjian dan kerjasama politik yang diadakan itu memberi manfaat dan bukannya mudarat ke atas Islam.

“Kita tidak dipatuk dua kali dalam satu lubang. Perkara paling penting untuk bekerjasama adalah Islam mesti memimpin, bukan dipimpin. Itulah yang menjadi matlamat PAS sejak ditubuhkan dan ia menjadikan PAS bertahan hingga hari ini walaupun menghadapi pelbagai ujian.

“Justeru, buat masa ini tidak ada rundingan dengan mana-mana parti untuk menghadapi PRU14 dan PAS hanya sudah bersiap sedia bersama Gagasan Sejahtera,” tegas beliau.

PAS Kedah pula menyatakan bahawa mereka tidak akan menjalinkan sebarang hubungan politik atau tahaluf siyasi bersama DAP, PAN dan sekutunya, malah turut memutuskan hubungan politik bersama PKR sejajar keputusan Muktamar PAS Pusat yang dimuktamadkan MSU.

Perkara itu ditegaskan Dr Ahmad Fakhruddin di mana beliau juga membidas pengumuman Penasihat PH, Tun Dr Mahathir Mohamed kononnya pakatan itu tidak akan menjalinkan hubungan politik bersama PAS.

Sedangkan menurut beliau, PAS awal-awal lagi sudah menzahirkan pendirian bahawa parti itu sama sekali tidak akan bersama PH, mahupun BN.

“Tidak timbul soal rundingan antara parti-parti Pakatan Harapan dengan PAS kerana sememangnya kita (PAS) tiada hubungan politik bersama mana-mana parti yang bersekutu bersama DAP dan PAN,” tegas beliau.

Menurutnya, sebelum ini pemimpin PPBM dilihat cuba mengelirukan rakyat apabila tanpa segan silu membuat kenyataan kononnya memberi tempoh-tempoh tertentu kepada PAS untuk memberi jawapan.

Walhal PAS katanya, tidak pernah menghulurkan tangan menawarkan diri untuk bersama-sama gabungan parti pembangkang berkenaan.

“Wakil dari kalangan pemimpin PKR yang datang berjumpa Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini, itu bukannya bermakna PAS akan menyambung kembali tahaluf siyasi yang telah terputus sebelum ini.

“Malah kita tetap komited untuk berhadapan pertandingan tiga penjuru dan PAS Kedah telah pun membuat keputusan akan bertanding di semua 15 Parlimen dan 36 Dun pada PRU14 nanti,” ujar beliau lagi.

Justeru itu katanya, PAS telah bersedia terutama dalam urusan persediaan pilihan raya, malah, nama-nama calon dari semua Dun dan PAS Kawasan telah pun dikenal pasti disamping mempunyai senarai ‘bank calon’ sebagai persediaan.

“Calon-calon yang dikemukakan oleh PAS Kedah terdiri dari pelbagai latar belakang sama ada dari golongan ulama mahu pun profesional. Saya merasakan gabungan calon-calon yang bukan sahaja dari pelbagai latar belakang, tetapi juga menggabungkan dari kalangan yang berpengalaman.

“(Mereka) boleh memberi keyakinan kepada rakyat bahawa PAS mampu menerajui Kedah semula walau pun tanpa PKR dan DAP sebelum ini,” tambah beliau yakin.

Sehubungan itu tegas Dr Ahmad Fakhruddin, PAS Kedah komited sebagai Blok Ketiga bersama Gagasan Sejahtera disamping mempelawa parti-parti politik, NGO dan tokoh-tokoh individu yang berkomitmen untuk bersama mengangkat syiar Islam di bumi bertuah itu.

Walau bagaimana pun terangnya, keutamaan gerak kerja perlu diberi keutamaan dan perhatian terutama menggiatkan daftar pemilih baru, serta meningkatkan pengurusan kerja yang terancang dan bersistematik agar lebih baik dari sebelumnya.

Manakala Ustaz Mohd Zawawi pula menjelaskan PAS berjuang mengikut dasar dan polisi serta strategi yang diajar oleh Allah dan Rasulnya melalui al-Quran dan as-Sunnah di mana Islam mengajar perkara benar tetap di atas kebenaran dan perkara batil memang datang dengan kebatilan.

Justeru tegasnya, PAS tetap terus mengajak semua pihak bersama-sama dalam Gagasan Sejahtera dengan BPMS dan penyelesaian masalah rakyat dengan bijaksana menuju Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

“Kekuatan PAS yang tersendiri adalah mempunyai jentera di peringkat bawahan serta komitmen yang diberikan dalam membantu gerak kerja sentiasa segar. Rundingan bersama mana-mana pihak memerlukan kajian serta dinilai sebaiknya, kerana pengalaman serta keperluan ke arah itu bakal menentukan perjalanan politik PAS akan datang.

“Beberapa peristiwa hitam hasil rundingan bersama pihak-pihak berkaitan menjadikan PAS lebih matang membuat keputusan, bahkan ia seiring dengan dasar ditetapkan oleh pimpinan utama,” ujarnya.

Zawawi menyatakan, strategi berhadapan dengan pelbagai serangan untuk memusnahkan PAS telah membuatkan PAS tetap berdiri teguh atas prinsip perjuangan Islam sebenar tanpa ada kepentingan tertentu.

Tambahnya, rakyat boleh menilai sejauh mana kesungguhan PAS membela rakyat dan membawa isu-isu negara terutama berkaitan dengan agama walaupun diberikan tohmahan serta halangan.

Jelas beliau, WINS adalah pembawaan yang PAS berikan kepada masyarakat untuk memastikan kebajikan rakyat serta krisis melibatkan pengurusan negara akan di atasi sebaiknya.{/mprestriction} – eHARAKAH 20/9/2017