Peristiwa Memali, dekatkan Maziah dengan PAS

PERISTIWA Memali yang menggemparkan negara suatu ketika dahulu dengan 14 nyawa terkorban menjadi titik pemula untuk beliau mula mengenali PAS dengan lebih dekat.

Advertisement

Melihat siaran berita mengenai peristiwa itu di televisyen, beliau yang ketika itu mengikuti kursus matrikulasi di Universiti Sains Malaysia (USM) berasa begitu tersentuh dengan peristiwa berkenaan.

Berpeluang mengikut seorang temannya pulang ke kampung halaman di Sik dan menyertai siri-siri ceramah PAS, beliau akhirnya mendapat gambaran sebenar mengenai tragedi tersebut.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Bermula dari situ, Maziah Khamis mula aktif bersama PAS, lebih-lebih lagi ketika tahun tiga pengajian, usrah yang diikutinya berpecah antara PAS dan Islamic Representative Council (IRC) Perpecahan itu membuatkan Maziah memilih PAS sehingga hari ini.

Maziah yang lebih mesra disapa panggilan Cachi dalam kalangan ahli-ahli PAS ‘Gen 2’ ini tidak bersendirian di dalam PAS apabila suami tercinta, Mohamad Anwar Abdul Rahim turut aktif dalam jemaah.

Jika Maziah dipanggil Cachi, suaminya pula dipanggil Chaca – satu panggilan dalam bahasa Urdu yang bermaksud makcik dan pakcik, yang membawa suasana lebih mesra bersama ahli-ahli PAS lain.

Bertanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang, Maziah sememangnya perlu mewujudkan suasana mahabbah dan mesra dalam usaha mengatur strategi menggapai kemenangan.

Anak jati Melaka, membesar di Kuala Lumpur dan kemudiannya berkhidmat di negeri asal suaminya, Pulau Pinang, Maziah meletakkan segala urusan perjuangannya semata-mata kerana Allah.

Lantaran itu, ibu kepada lapan cahaya mata ini sentiasa ingat pesanan daripada suaminya bahawa apabila kita menolong agama Allah, Allah jualah yang akan membantu segala urusan.

Sememangnya pesanan itu diguna pakai  dalam setiap urusannya dalam menguruskan rumahtangga, sekaligus urusannya dengan parti.

Kesibukan yang dihadapinya tidak menjadi alasan untuk mengabaikan keluarganya. Malahan, suaminya sama-sama menyokong dan membantu menjaga anak-anak ketika mereka masih kecil.

Kini, dengan anak-anak yang menginjak dewasa, wanita waja ini berpeluang untuk terus menginfakkan diri kepada parti.

Anak-anak yang memahami dan dididik untuk berdikari membuka lebih ruang untuknya terus berkhidmat demi perjuangan tanpa gusar mengenai  apabila keluar untuk urusan jemaah.

Bagaimanapun kesibukannya sering digantikan dengan meluangkan masa dengan anak-anak dan keluarga apabila berkesempatan dengan membawa mereka menziarahi sanak-saudara, selain memasak untuk mereka.

Sentiasa berusaha memenuhi keinginan dan kegemaran anak-anak, Maziah gemar memasak nasi mandy atau mee udang yang merupakan juadah kegemaran mereka selain kek.

Selain terus amanah dengan kerja-kerja parti, Maziah turut menggerakkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dinamakan Pertubuhan Kebajikan Suri Prihatin (SURI).

Melalui NGO ini, beliau memberi fokus untuk melaksanakan program-program kebajikan dalam masyarakat terutama kebajikan kaum suri, di samping memberi perkhidmatan sumbangan barangan keperluan, pakaian, kewangan dan khidmat nasihat.

Dilahirkan pada tahun 1966, anak kedua kepada pasangan Khamis Sebah dan Zaleha Mohd Jadi ini menjadikan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai tokoh yang dihormati dan dikagumi beliau.

Gemarkan gerak kerja berpasukan serta berlandaskan musyawarah, Maziah sentiasa gembira dan berasa puas bekerja dengan jemaah kerana sentiasa dikelilingi sahabat-sahabat yang sentiasa memberi sokongan.

Baginya, tiada yang lebih memberikan kepuasan kepadanya selain dapat memberikan sumbangan kepada parti di samping kebahagiaan dan sokongan daripada ahli keluarga.{/mprestriction}