Manifesto Gagasan Sejahtera: Jelas, teguh dan realistik

PAS bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) sedar bahawa untuk melakukan pengislahan terhadap masalah yang sedia wujud dalam memacu kesejahteraan dan kemajuan negara adalah suatu cabaran yang besar.

Advertisement

2. Masalah rasuah dan salah guna kuasa di segenap peringkat; ketidaksetaraan ekonomi antara negara dan rakyat serta bandar dan luar bandar; ketidakmapanan dasar dan sistem pendidikan; pertikaian terhadap hak agama dan kaum; ancaman terhadap keselamatan dan keamanan termasuk insiden jenayah dan gejala sosial, semuanya menjadi isu utama yang sentiasa mendapat perhatian dan desakan daripada orang awam agar ia diselesaikan.

nasrudin33. Menghadapi masalah begini, Presiden PAS, YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Pengerusi GAGASAN dalam syarahan perdana yang beliau sampaikan pada 18 Mac 2018 di Hotel Astana Banquet Hall Cyberjaya telah menggariskan tiga (3) asas utama:

(a) Menekankan aspek akidah dan akhlak dalam kehidupan seharian dan bernegara.

(b) Menginsafi bahawa kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan kaum adalah suatu cabaran dan peluang bagi membentuk negara yang sejahtera.

(c) Memberikan peranan utama kepada Islam dengan tafsirannya yang sebenar dan selari dengan perutukan perlembagaan bagi membina Malaysia Sejahtera.

4. Pendirian politik yang ditegaskan oleh Pengerusi GAGASAN juga sangat menarik untuk diberikan perhatian sekaligus ia menjadi ciri yang unik kepada GAGASAN justeru menjadikan GAGASAN sebagai pilihan terbaik buat rakyat Malaysia terutamanya untuk keluar dari kemelut politik berpanjangan akibat budaya politik usang yang masih diamalkan oleh sebahagian parti politik.

(a) Menghormati mandat rakyat kepada sesebuah parti politik untuk membentuk sebuah pemerintahan.

(b) Menyertai pilihan raya sebagai kaedah sebenar membentuk kerajaan baru yang lebih baik.

(c) (Sementara menjadi pembangkang) berperanan sebagai pembangkang yang berkesan dengan menegur kerajaan dan sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak ke arah yang lebih baik.

(d) Mengelak campur tangan pihak asing,

(e) Menolak politik fitnah dan persepsi.

5. Bertitik tolak daripada asas dan pendirian ini serta sembilan (9) teras yang diumumkan sebelum ini, GAGASAN telah melancarkan 20 Tawaran Utama pada malam tadi meliputi semua segmen rakyat Malaysia.

6. Kesemua tawaran yang dikemukakan oleh GAGASAN ini adalah berpijak di atas paksi yang jelas, teguh dan realistik termasuk mengambilkira kemampuan GAGASAN untuk melaksanakannya dan keperluan rakyat terhadapnya; bukannya sekadar untuk mendapatkan populariti dan publisiti bagi meraih undi.

7. PAS bersama GAGASAN komited untuk merealisasikan manifesto ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
01 Rajab 1439 / 19 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 19/3/2018