Tamrin Qiadi PAS Pusat

Memugar ukhuwwah, merimbun thaqofah

PANTAI Teluk Kalong menunjukkan bahasa alam musim tengkujuh, ombak bergumpal menghempas pantas dengan deru angin tak bersahabat.

Advertisement

Musim tengkujuh belum berhujung dan pimpinan utama PAS diperingkat Pusat dan negeri berhimpun untuk melumati perbincangan tarbawi dengan hasrat mengukuhkan fikrah dan amal para pimpinan. Acara dwi tahunan ini juga medan mengukuhkan ukhuwwah dan merapatkan jurang pimpinan antara saff Pusat dan negeri.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang telah melebihi 68 tahun perjuangannya, bergerak seimbang disektor siasah, dakwah dan tarbiah. Harakatul ummah ini yang menghimpunkan insan-insan yang cintakan kepada Islam dan Syariatnya, maka program tajnid(kaderisasi) merupakan wahana untuk membentuk kader-kader dakwah yang piawai. Pimpinan PAS dalam era tamkin ini wajar mempersiapkan diri sebagai model kepada ahli dan masyarakat.

PAS sewajibnya mempunyai pimpinan yang piawai dan pakej disemua peringkat kepimpinan, maka pembinaan karektor kepimpinan ini mestilah bertunjang kepada thaqofah. Kepimpinan PAS wajib melumatkan seluruh hasrat dan aspirasi jamaah. Antara matlamat yang diusahakan untuk dicapai dua tahun daripada sekarang ialah untuk melengkapkan 12 ribu orang barisan nuqoba dan naqibat yang kompeten (12k Ansorullah). 12k ansarullah yang melengkapi syarat-syarat ” safwah mukhtarah” dikalangan seluruh ahli-ahli diseluruh negara, kelompok terpilih ini adalah tiang pasak harakatul ummah sebagaimana kelompok yang pernah berbaiah dengan ar Rasul dalam Baiatul Ridwan . Dalam getir kelompok ini menyahut panggilan arRasul dalam ghazwah Hunain.

PAS sebagai gerakan Islam tertua dinegara ini pastilah berbeda dengan sistem tajnid Ikhwanul Muslimin , Jamiat Islami, Mili Goruz dan lain-lain harakatul ummah. PAS menghimpunkan paling ramai kelompok asatizah, kelompok anak muda serta para profesional , medan ujian PAS berbeda dengan gerakan Islam yang lain. Jamiat Islami dengan kumpulan teras yang dikenali sebagai “rukun”, begitu juga Ikhwanul Muslimin.

Kumpulan teras dalam sesebuah gerakan massa sangat penting, kelompok ini menjaga hubungan dengan Allah, merapati masyarakat dan ahli, sentiasa menambah ilmu , menjadi pantulan cerminan dalam masyarakat, boleh dikerah bila -bila masa untuk gerakerja Islam dan mewajahkan jamaah sebagai wadah terbaik bagi kelompok orang beriman.

Tuan Guru Presiden, Dato’Seri Hj Abdul Hadi Awang sendiri beberapa kali memberikan panduan dan peringatan kepada kita untuk bersiap menyediakan jentera seramai 12 ribu orang yang komited dan bersungguh-sungguh menjunjung perjuangan ini sebagai salah satu usaha memenuhi syarat kemenangan Islam berpandukan hadis Nabi SAW:

,
“Sebaik-baik sahabat ialah 4 orang, sebaik-baik pasukan peninjau ialah 400 orang, sebaik-baik tentera ialah 1000 orang dan 12000 orang tidak akan kalah dengan yang sedikit” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Termizi). Justeru, hadis tersebut menjadi indikator asas bahawa salah satu pintu kemenangan Islam boleh dicapai dengan cara mempersiapkan sejumlah 12 ribu orang jentera yang tidak akan dapat dikalahkan.

Menurut anak didik Sheikh Said Hawwa ini, sebagaimana diyakini bahawa kemenangan di dalam Islam tidak memadai untuk dicapai hanya dengan kuantiti yang ramai semata-mata, sebaliknya mestilah dilengkapi dengan kualiti ansarullah yang beriman lagi bertaqwa yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Peringatan terbaik pernah hadir di dalam peristiwa Perang Hunain pada bulan Syawal tahun lapan hijrah, apabila tentera Islam terleka akibat timbul rasa kagum dengan bilangan mereka yang ramai lantas mereka hampir tertewas dengan sikap mereka sendiri itu.

Antara contoh lain juga berkaitan dengan amanat Saiyyidina Umar al-Khattab ketika Sa’ad bin Abi Waqqas memimpin tentera dalam Peperangan Al-Qadisiyah agar tentera Islam menjadikan taqwa sebagai sebaik-baik bekalan untuk mengalahkan musuh seterusnya menjauhi maksiat dan dosa kerana sesungguhnya maksiat dan dosa tentera Islam adalah lebih merbahaya dan ditakuti baginda SAW berbanding dosa yang dilakukan oleh musuh.

Pimpinan PAS dipelbagai peringkat wajib mempersiapkan diri, mewujudkan 12 k tenaga teras dalam jamaah Islam bukanlah terma utopia yang mengkhayalkan namun boleh dicapai jika seluruh pimpinan pelbagai peringkat mematuhi garis panduan yang dibekalkan oleh Lujnah Tarbiah PAS Pusat.

Menjadi pemimpin PAS tidak boleh berpuas hati dengan tahap ilmu yang mereka ada kerana dunia yang semakin pantas bergerak, juga kerana kelompok kelas menengah semakin membesar di negara ini dan mereka merupakan kelompok yang menuntut pelbagai jawaban daripada PAS. Masyarakat yang terdedah dengan pelbagai maklumat daripada terjahan langit dan juga masyarakat yang semakin akses dengan maklumat. Dunia android ini juga seakan makin menggerus kualiti amal pimpinan dan ahli kita, keralikan dengan telefon pintar semakin menjarakkan kita dengan Allah. Ini menyebabkan nusrah dan rahmat Allah semakin menjauh daripada kita, maka usaha mewujudkan 12k ansorullah adalah langkah tepat jangka panjang PAS.

Menjadi pemimpin PAS dipelbagai peringkat memerlukan budaya cintakan ilmu yang menggebu, melengkap diri dengan amalan wajib dan amalan sunat yang berterusan. Sebolehnya pemimpin boleh memuntahkan idea-idea yang segar di atas aksara, menulis untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat dengan ahli-ahli dan juga masyarakat. Menjadi qiadah ruhiyyah dalam masyarakat yang rentas sempadan ideologi. Pemimpin PAS mestilah menunjukkan qudwah dalam pembudayaan ilmu, jitu sahsiah Islam dan menjadi pencetus kepada pemugaran semangat jihad ta’alim.

Teluk Kalong kami tinggalkan dengan sebongkah semangat yang dikutip daripada bicara pimpinan utama , bukan sekadar mencicip ilmu haraki namun dihidangkan juga dengan keropok lekor,satar, otak-otak , durian dan secangkir kopi hangat. Maniskan berukhuwwah dalam jamaah ini, semoga Allah menetapkan tapak kaki kami diatas jalan ini sehingga dengusan nafas terakhir kami. 12k Ansorullah adalah matlamat kami !.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI ) – HARAKAHDAILY 11/1/2020