Muhasabah untuk kluster kayangan

kayangan

DUDUK di Gaza ini tidak mudah dan setahun dua lagi saya rasa saya akan memerlukan rawatan mental. Dalam banyak-banyak perkara yang paling susah ialah isu pintu sempadan yang sentiasa ditutup. Bukan kerana pintu sempadan itu sendiri tetapi perjalanan untuk masuk keluar dari pintu tersebut.

Advertisement

Berapa tempoh paling lama pernah saya lalui untuk masuk semula ke Gaza setelah kapal terbang meninggalkan KLIA? Hampir sebulan.

Ya, hampir sebulan saya duduk di Mesir di sebuah kampung kecil bernama Al-Arish berdekatan Gaza kerana sempadan tiba-tiba ditutup dan kami tak dibenarkan masuk dan dipaksa berpatah balik.

Lama tak lama saya sempat menjalankan kempen sara hidup, kempen bantuan makanan dan kempen perubatan untuk membantu penduduk Palestin yang sama-sama tersekat bersama saya. Lama tak lama saya mengenali tempat persinggahan kami Bandar Al-Arish tersebut seperti tempat asal saya Bandar Baru Bangi.

Lama tak lama mereka yang berada bersama saya dalam perjalanan tersebut kekal berhubung sehingga hari ini kerana pengembaraan kami untuk masuk semula ke Gaza memaksa kami bertarung nyawa, ‘hitch-hiking’ di belakang lori di Sinai dalam keadaan bunyi letupan berdekatan, bermalam di rumah penagih dadah dan menyorok di kampung terpencil melanggar arahan darurat Kerajaan yang mengarahkan tentera mereka untuk ‘shoot on sight’.

Berapa lama pula masa yang kami perlukan untuk sampai dari Cairo ke Al-Arish itu sendiri? Jika nasib kami baik, perjalanan memakan masa dua hari. Jika nasib kami kurang baik ia mungkin berlarutan sehingga 4 atau 5 hari.

Dari Cairo kami menaiki teksi dan melalui puluhan checkpoint tentera, beratur selama 6 jam ke 7 jam untuk menunggu giliran menaiki feri melepasi Terusan Suez, menunggu 4 jam ke 5 jam di setiap checkpoint utama untuk diselongkar beg satu demi satu; sehelai demi sehelai baju yang disusun rapi diselak, semua kotak hadiah dan cenderamata dibuka lalu dihumban semula ke dalam beg untuk ditutup.

Oh ya, laluan feri ini akan ditutup jam 2 petang setiap hari bermakna sekiranya kami sampai selepas jam 2 petang, kami terpaksa tidur di jalanan, tanpa tandas dan tanpa makanan – kecil besar tua muda lelaki wanita – sehinggalah laluan dibuka semula jam 6 pagi keesokan harinya.

Sampai di sempadan Mesir – Gaza pula kami akan menyerahkan pasport untuk disemak dan diteliti sebelum dibenarkan masuk ke dalam Gaza, proses yang biasanya memakan masa sehingga 8 jam ke 9 jam.

Tidak adakah kapal terbang yang boleh masuk ke dalam Gaza untuk memudahkan perjalanan? Sudah pasti tidak. Lapangan terbang yang ada di Al-Arish telah ditutup dan lapangan terbang di Gaza pula telah dibom sejak tahun 2001 oleh penjajah. Penduduk ini apabila berjaya masuk ke dalam Gaza akan dikuarantin selama 14 hari di dalam kawasan khas yang telah disiapkan.

Ia bukan hotel lima bintang, mereka tidak ada pilihan makanan, infrastruktur seperti tandas perlu dikongsi, bilangan pemanas tidak cukup untuk melawan dingin musim bunga dan tidak ada kipas atau penghawa dingin untuk dipasang pada waktu siang.

Tetapi yang terbit dari mulut mereka hanya satu kalimah – “Alhamdulillah“. Alhamdulillah kerana dapat kembali semula ke tanah air. Alhamdulillah kerana selepas kuarantin akan dikumpulkan semula bersama keluarga. Alhamdulillah kerana dalam keadaan Gaza yang serba kekurangan Kerajaan melakukan sebaik mungkin apa yang termampu untuk memenuhi keperluan mereka.

Kerana itu, kepada kalian yang baru turun dari kayangan berpijaklah di bumi nyata dan ucapkanlah alhamdulillah. The sky is not always blue, but it is up to you to see that your life is much better than others.

Dan di akhir perkongsian ini, saya sekali lagi menyeru bantuan kecemasan untuk Gaza berdepan kemungkinan dilanda wabak COVID-19 ini. Klik sahaja http://emergency4gaza.com untuk melakukan sumbangan.

Semalam Isnin sehingga lusa Khamis sempadan Gaza dibuka untuk sekitar 1,200 penduduk yang telah lama terkandas di Mesir pulang semula ke pangkuan tercinta.

Doakan urusan mereka dimudahkan dan perjalanan mereka selamat, kesihatan mereka di tahap terbaik serta tidak membawa wabak merbahaya masuk bersama mereka ke penjara terbuka paling besar di dunia.

Kerana kalau ia terlepas masuk, sebahagian besar penduduk Gaza akan benar-benar terbang bertemu Pencipta di kayangan.

NADIR AL-NURI
Gaza
14 April 2020 – HARAKAHDAILY 15/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.