Senat lulus belanja pertahanan USD740.5 bilion

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Senat Amerika Syarikat (AS) pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang (RUU) versi perbelanjaan pertahanannya untuk tahun fiskal 2021, merangkumi peruntukan sekatan bagi projek saluran paip Nord Stream 2, lapor agensi berita Sputnik.

Advertisement

Akta Kebenaran Pertahanan Negara Senat 2021 (NDAA) diluluskan dengan undian 86-14.

Pada Selasa, Dewan Perwakilan meluluskan RUU perbelanjaan pertahanan sebanyak USD740.5 bilion, merangkumi sekatan yang berkaitan dengan Nord Stream 2.

Dewan Senat dan Dewan Perwakilan yang dilantik akan menyelaraskan kedua-dua rang undang-undang tersebut melalui proses persidangan.

Setelah mereka menyetujui RUU yang diselaraskan, kedua-dua dewan akan mengadakan pungutan suara sebelum ditandatangani Presiden sebagai undang-undang atau membatalkannya.

Rang Undang-undang versi Dewan Senat termasuk dana tambahan untuk pertahanan peluru berpandu dan pembangunan senjata hipersonik.

Ia turut merangkumi langkah-langkah untuk menukar nama pangkalan mengikut nama pemimpin Gabungan. 

Pejabat Pengurusan dan Belanjawan awal minggu ini berkata Presiden Donald Trump akan menolak Rang Undang-undang versi perbelanjaan Dewan Perwakilan kerana menentang peruntukan untuk menamakan semula pangkalan bersempena nama pemimpin Gabungan. – BERNAMA