Ramadan bulan kemenangan

PADA bulan yang sangat berkat ini, Allah SWT mengurniakan kemenangan yang bersejarah kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Advertisement

Bukan sahaja jihad terhadap diri sendiri melawan hawa nafsu dengan tarbiyah ibadat, bahkan jihad terhadap musuh daripada luar yang cuba memadamkan cahaya Allah daripada petunjuk Islam, apabila cahaya Islam yang terang ini telah mendedahkan kelemahan, kezaliman dan kesesatan mereka.

Antara peristiwa kemenangan bersejarah yang terkenal ialah peristiwa Badar al-Kubra, Fathu Makkah dan ‘Ain Jalut. Peristiwa yang mencetuskan peperangan terhadap Islam, walaupun Islam berkonsepkan kebebasan beragama tidak boleh memaksa penganut agama lain menganut Islam, tetapi jangan dihalang kebebasan berdakwah dan jangan diganggu apabila Islam sudah dianuti walaupun oleh seorang individu sahaja, apatah lagi jika mahu dihapuskan negara dan masyarakat yang ditegakkan.

Islam tetap mengizinkan penganut agama lain berada dalam masyarakat dan negaranya, berpandukan firman Allah SWT:

﴿أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi; dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan) (39); Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah.” (Menganut Islam bertuhankan Allah sahaja dan menolak syirik). Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), tempat-tempat bersembahyang dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah dengan banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40); Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang (konsep ibadat) serta memberi zakat (ekonomi yang adil), dan mereka menyuruh berbuat kebaikan (berkebajikan) serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar (kehebatan undang-undang). Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (berwawasan Akhirat) (41).” (Surah al-Hajj: 39-41)

Peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, meletus apabila bala tentera Musyrikin Makkah berjumlah 1000 orang yang lebih besar dan lengkap senjata perang di zaman itu dipimpin oleh Abu Jahal datang menyerang kumpulan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW yang hanya seramai 313 orang sahaja dengan tidak lengkap persenjataannya, kerana tujuan sebenar untuk datang memintas rombongan perniagaan daripada Makkah yang diketuai oleh Abu Sufian yang pulang daripada Syam.

Tindakan yang dilakukan adalah wajar terhadap mereka yang berlaku zalim terhadap orang-orang yang beriman di Makkah, dibunuh, diseksa dan dirampas harta, walaupun mereka yang beriman itu adalah ahli keluarga sendiri, namun dianggap bersalah kerana iman yang dipasak.

Perang Badar al-Kubra berakhir dengan kemenangan di pihak Islam yang sedikit jumlah anggota dan tidak lengkap persenjataannya. Peristiwa tersebut dirakamkan di dalam al-Quran, firman Allah:

﴿وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرٖ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةٞۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ١٢٣﴾

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali ‘Imran: 123)

Rahsia kemenangan tersebut dicapai apabila syarat-syarat yang melayakkan untuk mendapat pertolongan Allah dipenuhi, iaitu kekuatan rohani dalam beriman, berjihad dan bersabar, dan kekuatan lahiriyah dengan susunan bala tentera dan strategi yang baik dan pintar.

Bahkan beriman kepada kebenaran Islam yang diimani, ditegakkan dan dipertahankan, percaya kepada Allah SWT dan janjiNya yang memberi kemenangan di dunia dan Akhirat.

Seterusnya peristiwa Fathu Makkah berlaku pada 20 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah, apabila Islam yang berkonsepkan perdamaian didahulukan dalam memeteraikan Perjanjian Damai Hudaibiyah, tiba-tiba pihak Musyrikin Makkah mencabuli perjanjian damai tersebut.

Maka Rasulullah SAW bertindak membebaskan Makkah daripada jahiliah bangsa dan keluargannya sendiri yang menjadi keutamaan.

Umat Islam mendapat kemenangan besar, manakala para pemimpin jahiliyah Makkah pula menyerah kalah, namun dilakukan pengampunan beramai-ramai tanpa dibalas dendam terhadap mereka yang zalim sehingga membunuh para sahabat, ini bagi mengotakan firman Allah:

﴿وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧﴾

“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Dan bersabarlah (wahai Muhammad SAW terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan (127).” (Surah al-Nahl: 126-127)

Firman Allah:

﴿وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤﴾

“Dan tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (33); Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (34).” (Surah Fussilat: 33-34)

Kemudian berlakunya saat masyarakat Makkah beramai-ramai menganut Islam, termasuk di kalangan yang disenaraikan tidak diampunkan pada awalnya, tetapi setelah diampunkan mereka menganut Islam.

Peristiwa kemenangan ‘Ain Jalut di Palestin pula berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658H, apabila tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Saifuddin Qutuz berjaya mengalahkan tentera Tatar yang diketuai oleh Genghiz Khan dan disambung oleh Hulagu Khan.

Tentera Tatar merupakan bala tentera yang paling ganas dalam sejarah dunia, sehingga mereka membunuh berjuta nyawa manusia termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Penguasaan mereka sehingga berjaya menakluk China, India, Asia Barat dan sebahagian Eropah sehingga dianggap mustahil mana-mana pihak dapat menghalangnya.

Tiba-tiba berlakunya peristiwa ‘Ain Jalut yang menempa sejarah, apabila Sultan melaungkan slogan “Wa Islamah!” (Selamatkan Islam yang tersayang) setelah kuda tunggangannya terbunuh oleh panahan musuh. Baginda enggan menunggang kuda panglima tenteranya yang diserahkan supaya diganti kuda miliknya.

Dengan tegas Baginda menyatakan kesediaannya untuk mati syahid untuk mempertahankan Islam, sehingga memberi semangat kepada bala tenteranya dan memporak-perandakan bala tentera musuh yang paling ganas itu.

Peristiwa ‘Ain Jalut berakhir dengan kekalahan kaum Tatar dan akhirnya mereka menganut Islam dan selepas itu bersama menegakkan Islam. Islam menempa sejarah apabila berjaya mengIslamkan kaum penjajah, kerana kebiasaannya manusia terpengaruh dengan pengaruh penjajah. Sekaligus ini membenarkan firman Allah:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩﴾

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (8); Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ajaran yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya (9).” (Surah al-Saff: 8-9)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Ramadan 1441 / –HARAKAHDAILY 4/5/2020