Semangat muafakat menangkan PN di Chini

Mohd Sharim rasa terhutang budi jerit perih jentera PAS, PN

PEKAN: Semangat muafakat dalam Perikatan Nasional telah membuahkan hasil apabila memperolehi kemenangan dengan majoriti yang sangat besar dan bukti tiada perkara mustahil apabila saling bekerjasama, demikian kata Mohd Sharim Md Zain.

Advertisement

Beliau malam tadi diumumkan sebagai pemenang PRK DUN N.23 Chini, mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan dan menyifatkan kini masa untuk bekerja sudah bermula sebaik sahaja diisytiharkan sebagai pemenang.

Mohd Sharim, 41, berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan bagi tujuan itu, beliau yang merupakan generasi kedua FELDA Chini 3 akan bertemu dengan semua pemimpin masyarakat setempat.

Mengakui dirinya masih mentah dalam hal politik, Mohd Sharim, berkata beliau sedia untuk belajar dan berhasrat menjadikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mentor. 

“Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik untuk BN. Sekarang adalah masa untuk belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk saya menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya (sebagai calon) juga tidak pernah diimpikan. 

“Tapi, saya berjanji akan melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain untuk sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya semasa ditemui Bernama di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dekat sini, malam tadi.
 
Mohd Sharim tiba di IKBN sekitar 8:45 malam, diiringi pimpinan Umno termasuk presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Wan Rosdy, Najib, Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan bagi meraikan kemenangan beliau.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya sehingga membolehkan dirinya menang besar PRK itu, iaitu dengan majoriti 12,650 undi yang diakuinya melebihi daripada jangkaan. 

Jumlah itu, akui Mohd Sharim tidak boleh dicapai sekiranya pengundi luar tidak pulang menunaikan kewajipan mereka, menyebabkan beliau secara peribadi amat terharu dengan sokongan tersebut. 

Selain pengundi, Mohd Sharim juga mengakui terhutang budi dengan jerit perih jentera PRK itu yang bukan hanya melibatkan BN, tetapi juga PAS dalam kerjasama Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional. 

“Mereka bertungkus-lumus dalam tempoh dua minggu ini untuk memastikan kemenangan BN. Walaupun hanya dicabar calon Bebas, kami sentiasa berpegang kepada pesanan pimpinan atasan parti supaya tidak alpa atau memandang ringan terhadap kemampuan mereka,” katanya. 

Pada PRK itu, Mohd Sharim mempertahankan kerusi milik BN itu selepas memperoleh 13,872 undi untuk menewaskan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi manakala Mohd Shukri Mohd Ramli memperoleh 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas disahkan hilang wang deposit. – BERNAMA