Lambaian Kaabah: Simpan tenaga menjelang hari Wukuf

KETIKA kira-kira seminggu menjelang hari Wukuf jemaah haji dinasihat lebih banyak berehat. Tidak digalak melakukan aktiviti lasak. Tujuannya untuk menyimpan tenaga sebelum bergerak ke Padang Arafah bagi menyempurnakan rukun haji.

Advertisement

Lebih-lebih lagi jemaah haji yang uzur. Mereka tidak digalak solat berjemaah di Masjidil Haram dalam tempoh menjelang hari Wukuf.

Maklumlah perjalanan ke Masjidil Haram sentiasa sesak dengan lautan manusia. Berselisih bahu atau terpijak selipar bukan perkara asing lagi.

Tambahan pula kedudukan hotel jemaah Malaysia yang agak jauh.

Pengalaman dilalui penulis berjalan ke Masjidil Haram dari Hotel Land Premium di Al Misfalah paling cepat pun setengah jam.

Kalau tidak terpaksa mengorbankan tempoh 40 minit, di tengah-tengah  kesesakan manusia di sepanjang jalan. Hotel tersebut menempatkan maktab 88, 89, 90 dan 91.

Hotel itu terletak kira-kira 900 meter dari Masjidil Haram. Dari Hotel Land Premium ke Masjidil Haram terdapat deretan kedai di kiri kanan jalan.

Sepanjang perjalanan ke masjid boleh ditemui hotel-hotel yang menempatkan jemaah dari seluruh dunia. Ada dipasang bendera Tunisia, Thailand, Turki, Sudan, Maghribi dan pelbagai lagi negara.

Namun ramai lagi jemaah haji dari negara-negara lain termasuk China terletak lebih jauh dari Masjidil Haram.

Sinaran terik matahari dilindungi bangunan tinggi sepanjang laluan tersebut. Hanya ketika melewati dataran burung merpati di Jalan Ibrahim Al-Khalil kami terpaksa berselindung di bawah sejadah atau serban.

Ketika mendekati dataran Masjidil Haram sekali lagi jemaah terlindung di sebalik bangunan tinggi. Banyak hotel lima dan enam bintang berdekatan masjid.

Antaranya Intercontinental Dar Al-Tawhid, Makkah Hilton Towers dan Hotel Pullman. Jarak hotel-hotel tersebut paling jauh pun kira-kira 100 meter.

Penulis temui ramai juga jemaah dari Malaysia menginap di situ. Mereka memberitahu pakej yang perlu dilanggani sekitar RM40,000 seorang.

Namun, peliknya kita boleh temui ramai juga jemaah haji Melayu dari selatan Thailand menginap di hotel tersebut.

Pakej mereka pula tidak sampai RM20,000 seorang. Peliknya juga. Sepanjang 40 hari berada di Makkah, penulis dan rakan-rakan dari Land Premium setiap hari berulang alik ke Masjidil Haram.

Namun tiga hari menjelang Wukuf, kami memilih solat Asar di masjid berdekatan hotel.

Terdapat tiga masjid yang biasa penulis dan rakan-rakan kunjungi. Satunya dikenali sebagai Masjid China. Di situ terdapat ramai jemaah haji negara terbabit.

Satu lagi lagi Masjid Pakistan. Masjid China lebih luas dan selesa. Namun setiap kali solat jemaah, penuh dan melimpah ke luar. Saf terpaksa berhimpit-himpit.

Setiap masjid dilengkapi penghawa dingin. Namun sejuknya kurang terasa ketika jemaah padat. Sebuah lagi masjid agak kecil, setiap kali solat ada karpet dihampar sehingga ke jalan raya.

Biarpun begitu kebiasaannya solat Subuh, Zohor, Maghrib dan Isyak Masjidil Haram tetap menjadi pilihan kami.

Pilihan masjid berdekatan untuk solat Asar meredakan sedikit kepenatan berulang alik.

Surau hotel

Namun surau di Hotel Land Premium juga sentiasa penuh.

Surau tersebut boleh menampung sehingga lebih 1,000 jemaah. Lengkap dengan penghawa dingin terletak di tingkat M, hotel 13 tingkat tersebut.  

Ketika menjelang musim haji, surau terbabit juga padat dengan jemaah. Orang ramai terpaksa bersesak-sesak.

Namun kelebihannya jemaah haji tidak perlu berjalan jauh. Hanya menggunakan lif boleh sampai ke surau.

Surau juga dijadikan tempat untuk menyampaikan taklimat dan apa-apa perkembangan yang berlaku di Makkah.

Di surau hanya kita menemui jemaah haji dari Malaysia sahaja. Ada juga pekerja hotel warga Bangladesh dan Nepal yang solat di situ.

Bagaimanapun cabaran sebenar ialah solat di hadapan Kaabah. Tahun lepas jemaah haji sudah boleh solat di bangunan baru Masjidil Haram yang hampir siap sepenuhnya.

Bangunan baharu jauh lebih tinggi berbanding bangunan sedia ada. Setiap tingkat dihubungi dengan escalator. Biarpun bangunan baharu lebih besar, namun solat jemaah di tingkat bawah dan tengah juga sentiasa padat.

Lebih-lebih lagi malam Jumaat. Ramai penduduk tempatan datang solat dan tidur di Masjidil Haram.

Bagi jemaah yang hendak solat di hadapan Kaabah perlu datang lebih awal lagi. Pintu King Fahd, King Abdul Aziz dan King Abdullah akan ditutup setelah jemaah melimpah.

Laluan menuju ke pintu masjid sering terhalang dengan puluhan ribu manusia di dataran masjid. Ramai memilih solat di situ ketika Maghrib, Isya dan Subuh.

Tidak kurang juga menjadikan lokasi itu sebagai tempat tidur. Begitu juga di aras bawah bangunan lama Masjidil Haram boleh ditemui beg-beg penduduk tempatan.

Mereka menjadikan ruang solat sebagai tempat bermalam. Boleh ditemui juga di lobi hotel berdekatan masjid, ramai tidur bergelimpangan di situ. Ada juga membawa anak-anak kecil.

Inilah fenomena yang biasa ditemui di Masjidil Haram. Namun bagi jemaah yang hanya solat di surau hotel, mereka tidak akan temui rencah kehidupan di Masjidil Haram. – HARAKAHDAILY 23/8/2017

wukuf 2

wukuf 1