Artikel Dr Asiah: Mohon maaf kepada SSM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Advertisement

Pernyataan di atas susulan salah lapor satu artikel Harakah pada tarikh 18 Oktober yang bertajuk ‘Aktivis Ekonomi Dalam Islam’ yang menyebut SSM adalah sebuah syarikat bukan Muslim.

SSM adalah satu badan agensi kerajaan di bawah KPDNHEP dan tidak dimiliki oleh mana-mana individu atau organisasi syarikat.

Fakta di dalam konteks artikel yang melibatkan SSM, adalah salah dan Harakah memohon maaf serta membetulkan kembali salah fakta tersebut.

Salah seorang Kolumnis Harakah, Dr Asiah Ali sebelum ini telah menulis di dalam artikel beliau, di perenggan kedua, bahawa SSM merupakan sebuah syarikat bukan islam.

“69 peratus penduduk Malaysia adalah Muslim, tetapi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dimiliki oleh orang bukan Islam,” tulisnya.

Oleh itu, SSM tampil membetulkan kesalahan maklumat yang dipaparkan bagi mengelakkan salah faham berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 22/10/2019