BMF: Asmuni tidak layak jadi Exco Agama

FITNAH Exco Agama Kerajaan Negeri Perak, YB Asmuni Awi yang mengaitkan kempen Beli Produk Muslim (BMF) sebagai suatu kempen politik ini adalah suatu tindakan yang keji dan terkutuk.

Advertisement

BMF adalah gerakan rakyat dari pelbagai latar belakang untuk mengutamakan produk-produk Muslim tanpa mengira parti dengan syarat beragama Islam dengan harapan agar ekonomi umat Islam diperkukuhkan.

Kenyataan YB Asmuni Awi yang mengatakan bahawa Islam hanya mengajar kita mengutamakan produk halal dan bukannya produk Muslim jelas menunjukkan kecetekan dan ketidakjujuran beliau dalam berbicara mengenai Islam.

Islam mengajar kita agar saling bantu-membantu sesama Muslim terutamanya dalam membina kekuatan ekonomi umat, apatah lagi umat Islam kini sedang jauh terkebelakang dan lemah ekonominya.

Kita semua sedar peniaga-peniaga Muslim selama ini terpinggir di mana orang Melayu (yang semuanya beragama Islam) dicatatkan sebagai golongan termiskin sejak sekian lama di tanah ini. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk berjihad membantu dan membangunkan ekonomi ummah.

Jadi, kempen BMF adalah cara yang paling berkesan dan baik untuk kita saling menolong di mana semua orang berpeluang untuk ambil bahagian.

Kita bukan sahaja bertanggungjawab mencari yang halal sahaja tetapi lebih besar dari itu; membangun ekonomi dan membantu sesama Muslim. Maka, Exco Agama negeri Perak ini perlu memahami Islam dengan sisi pandang yang lebih luas.

Pendirian beliau bercanggah dengan pendirian Mufti Perak yang menyokong penuh kempen ini dengan hujah-hujah dan dalil-dalil yang kuat. Jauh sekali jika dibandingkan dengan ‘alasan’ yang diberikan oleh YB Asmuni ini.

Dengan pendirian beliau yang bacul sebegini, jelas beliau tidak layak menjadi Exco Agama dan kelemahan beliau ini dilihat seolah-olah sedang dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu sahaja. Menteri Besar Perak perlu memecat beliau dan menggantikan dengan orang lain yang lebih layak.

Kita menyeru agar rakyat Perak menolak dan mengabaikan arahan Exco Agama ini. Teruskan istiqamah kita dalam membangunkan ekonomi umat melalui kempen ini. Insya Allah.

AMINUDDIN YAHAYA
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
19 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 19/10/2019