Bajet 2020: Cukupkah lindungi kebajikan pesara tentera?

amzad

KETIKA perbahasan Bajet 2020 semalam, saya telah membawa isu kebajikan pesara tentera di dalam dewan. Ada beberapa perkara yang telah saya bawa ke hadapan bagi memastikan kebajikan pesara tentera dapat dilindungi secukupnya.

Advertisement

Yang pertama, saya telah mencadangkan agar Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mempertimbangkan agar dilakukan penukaran bentuk bayaran daripada diberikan secara on-off kepada bantuan bulanan. Dalam hal ini, saya berpendapat pelan kebajikan menyeluruh pesara tentera perlu diperincikan dalam Kertas Putih Pertahanan yang sepatutnya dibentangkan sebelum pengumuman Bajet 2020.

Hal ini kerana ramai di antara pesara tentera memerlukan sokongan penjagaan kesihatan secara berterusan seperti lampin pakai buang dewasa, bantuan susu khas, rawatan hemodialisis, pembelian peralatan pendengaran, konsentrator oksigen, ubat-ubatan dan banyak lagi. Kesemua ini memerlukan kepada bantuan dan sokongan kewangan daripada kerajaan untuk meringankan kesulitan dan kesusahan mereka meneruskan kehidupan masing-masing.

Kedua, berkaitan dengan pelarasan pencen khususnya untuk pesara zaman komunis. Gaji pesara yang terlibat dalam zaman komunis jauh nilainya dengan gaji tentera sekarang. Jumlah gaji dan pelan persaraan semasa tempoh perkhidmatan mereka akan memberi kesan kepada jumlah pencen mereka sekarang. Jumlah yang kekal sama dan tidak disemak adalah tidak adil memandangkan mereka turut menghadapi kos sara hidup yang sama dan sangat tinggi. Justeru, pelarasan pencen dalam tempoh terdekat ini sangat perlu bagi membantu pesara tentera yang telah banyak berkorban mempertahankan negara.

Seterusnya, saya juga mendesak kerajaan untuk menyediakan pelan penyaluran pesara kepada pekerjaan tertentu. Realiti menunjukkan ramai dalam kalangan pesara tentera menganggur. Adakah MINDEF tidak berhasrat untuk melakukan kerjasama dengan persatuan-persatuan bekas tentera agar mereka ini boleh disalurkan kepada pekerjaan-pekerjaan tertentu misalnya di syarikat-syarikat keselamatan.

Hari ini, kerajaan membenarkan begitu ramai pengawal keselamatan daripada Nepal bekerja di syarikat keselamatan tempatan dan mereka ini telah diberi gaji yang lumayan. Adakah pesara kita tidak mempunyai kualiti yang sama seperti mereka? Sekiranya berkualiti, apakah langkah-langkah yang telah dilakukan kementerian untuk memberikan skill yang sepatutnya atau “recondition” supaya mereka mampu melaksanakan tugas sebagai pegawai keselamatan yang diperlukan industri.

Akhirnya, saya juga telah menyampaikan suara hati pesara tentera yang mahukan kerajaan untuk menyediakan rumah bagi pesara yang belum memiliki rumah. Kerajaan perlu menyemak kembali jumlah pesara yang masih belum memiliki tempat berlindung ini untuk mengenal pasti aduan pesara bahawa ada antara mereka terpaksa menjadi gelandangan dan ada pula yang menumpang di rumah saudara-mara atau berkongsi tempat tinggal dengan pekerja asing.

Saya mengharapkan suara hati veteran dan pesara tentera ini diambil berat oleh kerajaan. Kertas Putih Pertahanan tidak wajar ditangguhkan lagi. Pengorbanan mereka menjadi barisan hadapan untuk melindungi negara perlu dihargai sewajarnya. Jaminan perlindungan daripada kerajaan akan memberikan motivasi lebih tinggi untuk mereka berkhidmat dengan sepenuh hati.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
22 Oktober 2019/ 23 Safar 1441 – HARAKAHDAILY 22/10/2019