Sentimen perbezaan DAP boleh cetus provokasi, diskriminasi

DAP Sarawak sebenarnya mahu dilihat sebagai jaguh sentimen kenegerian apabila mengapi-apikan perbezaan hubungan sosial, interaksi dan budaya, di mana secara tidak langsung turut melemparkan persepsi negatif kepada agama Islam.

Advertisement

Sedangkan pengambilan 433 guru Pendidikan Islam dari Semenanjung Malaysia hanyalah urusan pentadbiran yang boleh diselesaikan dengan mengemukakan pandangan dan cadangan kepada pihak terbabit khususnya Jabatan Pelajaran Negeri.

Malah, kami turut menyokong agar inisiatif dan keutamaan diberikan kepada guru tempatan yang berada dalam senarai permohonan serta berkelayakan supaya proses pembelajaran, serta hal pentadbiran berkaitan menjadi lebih mudah.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen tidak perlu merumitkan keadaan dengan skeptikal yang sangat keterlaluan. Sebenarnya beliaulah yang prejudis dan membakar unsur fobia serta melampau dari gambaran diberikan.

Momokannya adalah tohmahan tidak berasas dan melulu, malah beliau telah memberi label politik ke atas para guru yang telah mengikuti kursus standard perguruan. Jika terdapat bukti kukuh dakwaannya, beliau harus ajukan aduan kepada pihak terbabit. Jika tidak, Chieng Jen sebenarnya menghina profesion mulia para guru yang ikhlas mendidik anak bangsa.

Sewajarnya DAP Sarawak menjadikan keunikan dan keharmonian segala perbezaan yang ada di negeri ini sebagai kebanggaan tersendiri. Bukan memperleceh dan memandang pihak lain dengan tanggapan pecah belah lebih-lebih lagi perkara melibatkan sensitiviti dan sempadan agama.

MOHAMMAD ARIFIRIAZUL PAIJO
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 15/3/2017