Kenyataan balas media ‘Jika Gagal Sila Letak Jawatan’

KENYATAAN BALAS MEDIA “JIKA GAGAL SILA LETAK JAWATAN” OLEH YBHG. DATUK SARONI JUDI, TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN MELALUI SINAR HARIAN PADA 5 JULAI 2017
 
1. Kerajaan Negeri telah pada bulan Februari tahun ini membuat keputusan untuk menurunkan peruntukan sejumlah RM7 juta bagi membaikpulih 24 unit lif di Pangsapuri Seri Perantau melalui Skim SMART LIFE (Smart Lift Improvement For Quality Life). Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menawarkan sebanyak 2 kali kepada JMB Pangsapuri Seri Perantau untuk membaikpulih lif melalui Skim CERIA.  Walau bagaimanapun, ianya ditolak kerana JMB Pangsapuri Seri Perantau terbabit tidak dapat memberi komitmen bayaran pendahuluan 5%.
 
2. Berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757], Pangsapuri Seri Perantau sewajarnya menubuhkan Badan Pengurusan Bersama. Oleh itu, bagi membantu mengatasi kelemahan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau, Kerajaan Negeri melalui Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Klang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor serta Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor telah melantik ejen pengurusan yang berpengalaman untuk memperkemaskan pengurusan sedia ada supaya peralihan pengurusan kepada JMB menjadi lebih teratur dan lancar.    Ejen pengurusan yang dilantik telah membantu Kerajaan Negeri untuk memberi fakta tepat tentang permasalahan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau.    Berdasarkan fakta tersebut, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dan Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Klang bersama ejen pengurusan telah mengadakan pelbagai program untuk  memberi pendidikan dan kefahaman kepada penduduk tentang tanggungjawab membayar caj, keupayaan pengurusan berdasarkan hasil kutipan caj sedia ada, penjagaan harta bersama serta peranan dan kelebihan penubuhan JMB.   

Advertisement

3.         Langkah pemberian pendidikan  ini walaupun tidak popular dan “tidak nampak” tetapi sangat penting kerana Kerajaan Negeri menekankan keperluan pembangunan komuniti yang bistari untuk jangka masa panjang.   Ini kerana, Kerajaan Negeri telah melahirkan beberapa JMB pangsapuri kos rendah yang berjaya  malah pengurusannya lebih baik dari pangsapuri kos sederhana dan kos tinggi.    Punca utama kegagalan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau kerana Kerajaan terdahulu hanya fokus kepada pemindahan setinggan dan dimomokkan dengan budaya subsidi atau semuanya ditangung percuma  sehingga unsur-unsur pendidikan kepada budaya kehidupan berstrata dan pembentukan komuniti bistari diabaikan.
 
4.         Kerajaan Negeri juga secara serius telah menyelesaikan isu pemilikan tanah di Pangsapuri Seri Perantau bagi membolehkan proses pengeluaran hakmilik strata boleh dilaksanakan kepada pemilik.  Malahan, bagi tidak mengulangi kesilapan terdahulu, Kerajaan Negeri telah mengarahkan PKNS mengeluarkan hak milik strata berdasarkan 2 lot bagi mengelakkan Pangsapuri Perantau mengalami masalah pengurusan akibat daripada jumlah unit rumah yang tidak ideal bagi satu lot hakmilik tanah.
 
5.         Kerajaan Negeri berasa dukacita kerana sebelum ini tiada tindakan penguatkuasaan dari Kerajaan Persekutuan sehingga Kerajaan Negeri terpaksa berfikir di luar kotak untuk merangka pelbagai program bagi mengatasi kelemahan sedia ada. Namun, semasa Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya tanpa putus asa untuk membantu penduduk Pangsapuri Seri Perantau,adalah tidak adil Kerajaan Negeri dituduh gagal dan lepas tangan.​