Akta 355 dan Akta 164: Prinsip dan sikap

najhan

SATU perkara yang kita sedang saksikan dan akui bahawa pastinya satu bentuk polemik tidak bernoktah berlaku apabila melibatkan Islam dan hak umatnya di negara ini.

Advertisement

2. Masih teringat memori apabila cadangan dan usul pindaan Rang Undang-Undang 355 iaitu berkenaan bidangkuasa Mahkamah Syariah dibentangkan di parlimen oleh Tuan Guru Presiden PAS, bagaimana kita boleh menyaksikan betapa riuh gegar gempita DAP, MCA, MIC dan juak mereka PAN dan PKR membantah dan mengemukakan 1001 alasan dan penolakan.

3. RUU 355 adalah satu inisiatif untuk menaiktaraf akta yang sedia ada dalam perlembagaan yang berkaitan mahkamah syariah untuk umat Islam sahaja yang tidak menyentuh secara langsung kepentingan masyarakat bukan Islam. Cadangan pindaan ini semata-mata untuk memberi ruang dan hak kepada umat Islam agar memperolehi jaminan amalan kehakiman menurut agama Islam yang sebenar sebagaimana diberikan kebebasan kepada agama lain dan juga undang-undang sivil lain. Malah, cadangan pindaan ini dijamin perlembagaan bertepatan dengan kedudukan Islam dalam Perkara 3.

4. Amat mengejutkan apabila cadangan usul ini apabila dibawa ke parlimen, penentang-penentang usul ini mempolemikkan RUU 355 ini semahunya beralasan seolah-olah RUU 355 ini satu yang bercanggah perlembagaan, tidak demokratik, pintu belakang hudud, menggangu hak masyarakat bukan Islam dan bermacam-macam lagi. Mereka terus menerus merekacipta pelbagai helah dan membuat tindakan tidak berakhlak untuk menghalang agar RUU 355 tidak berjaya diluluskan.

5. Walaupun PAS telah berjaya melakukan pelbagai usaha seperti penyerahan memorandum kepada ahli-ahli parlimen, mengadakan majlis penerangan, dialog harmoni antara agama, ceramah dan penulisan ilmiah, wacana, forum termasuk berjaya mendapat sokongan suara rakyat dengan himpunan besar-besaran bagi meyakinkan bahawa RUU 355 ini adalah usaha yang wajar dan menepati suara umat Islam, namun ia tetap juga ditentang oleh mereka.

6. Semoga RUU 355 apabila tiba masanya dibentang dan dibahas nanti, diharap tiada lagi suara-suara sumbang yang menentang dan menghalang.

7. Ironinya apabila munculnya Isu pindaan Akta 164, iaitu akta yang melibatkan urusan perkahwinan dan perceraian masyarakat bukan Islam, lain pula kelihatan reaksinya penentang-penentang RUU 355 dahulu.

8. Mereka bersungguh pula mempertahankan pindaan Akta 164 ini dengan beranggapan ia adalah satu akta khas untuk masyarakat bukan Islam dan demi menjaga hak mereka.

9. Mereka pula bertegas meminta agar tidak dikeluarkan Seksyen 88A yang memperuntukan status agama anak dimana jikalau salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam (muallaf) yang selama ini menjadi isu pertikaian aqidah seorang anak walaupun ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Iaitu ia terkandung dalam Perkara 12(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

10. Pihak yang menentang Akta 355 atau RUU 355 adalah pihak yang sama menyokong dan mendesak agar seksyen 88A tidak dikeluarkan daripada Akta 164. Ini boleh disaksikan menerusi kenyataan dan perbahasan mereka di parlimen.
Alhamdulillah, walau begitu, Seksyen 88A tidak dimasukkan dalam pindaan ini.

11. Tujuan pindaan Akta 164 ini pada asalnya bertujuan untuk menyelesaikan isu pertikaian hak suami isteri sekiranya salah seorang memeluk Islam, namun disana kedudukan dan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara dan juga hukum syariat perlulah diambil perhatian.

12. Kekhuatiran terhadap pindaan Akta 164 ini adalah lojik sebagai contoh dalam pindaan Seksyen 3 yang mana perkataan “Eksklusif” diberikan kepada Mahkamah Sivil walaupun pihak yang terlibat adalah seorang muallaf dimana dia juga tertakluk dengan hukum Syariah. Persoalannya adakah Mahkamah Sivil dijamin mampu merujuk Syariah Islam dalam penghakimannya atau sekurang-kurang mampu menghormati kedudukan Islam seperti Perkara 3 dan juga Perkara 121 (1A)?

13. Tambahan pula kekhuatiran juga kepada pindaan Seksyen 51 dan 51A, secara langsung Akta 164 ini akan berlaku pertindanan dengan Syariah Islam dan hak seorang muallaf (Muslim) dalam tuntutan hak.

14. Mereka yang menyokong pindaan Akta 164 ini daripada awal sudah tentu menganggap akta ini mampu membela masyarakat bukan Islam atas semangat kebebasan mengamalkan agama masing-masing atau dapat mengubat kebimbangan yang kemungkinan pasangan bukan Islam tidak terbela disebabkan perceraian. Akan tetapi, bukankah sebaliknya jika dilihat secara adil, seorang muallaf itu juga dinafikan haknya apabila dia sendiri tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila dia sendiri gagal perolehi kehakiman berlandaskan Islam?

15. Sikap pihak Kerajaan Persekutuan dengan tergesa-gesa mmeluluskn Akta 164 (pindaan) ini apabila dibentang pada hari kedua dan terus dibahaskan serta diluluskan walaupun pihak Ahli Parlimen PAS mengemukakan bantahan dan cadangan agar penelitian dan kemaskini secara holistik diambil tetapi masih tidak dihiraukan amat dikesali.

16. Pihak Ahli Parlimen PAS juga berjaya menyuarakan peranannya mewakili umat Islam dan kepentingan saudara muallaf, walaupun tidak mampu menghalang Akta 164 (pindaan) daripada diluluskan atau ditangguhkan, mereka tetap berhak mendapat pujian.

17. Semua pihak khasnya Kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira cadangan daripada Ahli Parlimen PAS supaya satu Tribunal diwujudkan dalam akta ini atau diadakan mediasi antara kedua pihak iaitu pasangan yang menuntut hak itu atau antara Mahkamah Syariah dan Sivil, maka sewajarnya Akta 164 (pindaan) diberikan ruang mencukupi sebelum ia dilaksanakan nanti.

18. Inilah prinsip dan sikap PAS, konsisten berpendirian teguh dan bertanggungjawab dengan membawa suara Islam serta berusaha memastikan kedudukan Islam sesuai dengan agama yang tinggi dan suci mengikut lunas Perlembagaan.

19. PAS tidak hanya menyokong mahupun membantah membuta tuli atau mengikut telunjuk mana-mana pihak. Sekiranya PAS inginkan undi, nescaya PAS tidak mengusulkan pindaan RUU 355 dan begitu juga sekiranya PAS takut hilang undi, pastinya menyokong sahaja pindaan Akta 164 ini.

20. PAS adalah parti yang ingin melaksanakan amanah Allah swt dan umat Islam di Malaysia ini.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Inilah Penyelesaian Kita”

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.