Big Pharma milik Yahudi?

drsuhazeli

SAYA termenung kesian apabila mambaca tulisan yang bertajuk “BIG PHARMA milik Yahudi akan jatuh bankrap jika semua pesakit kanser amalkan HABBATUS SAUDA”. Dakwaan tulisan tersebut bahawa Habbatus Sauda ini ajaib kerana kuasa penyembuhannya menandingi ubat kimoterapi yang termahal atas dunia ini. Kemudian beliau meletakkan beberapa kajian saintifik yang menyokong habbatus sauda, kononnya telah terbukti keberkesanannya.

Advertisement

Kenapa saya termenung? Pertama, saya kesian pada masyarakat yang masih lagi kongsi dan percayai pelbagai teori dari tulisan sebegini. Tulisan yang menyanggah adat perubatan kini banyak berlegar dalam dunia maya. Antaranya isu minum air sejuk di pagi hari[1], kacang soya[2], makan makanan berprotein[3], stevia[4] dan pelbagai lagi yang sudah banyak diterangkan kembali oleh para pakar yang ahli dalam bidang masing-masing.

Sekali lagi saya kesian kepada masyarakat yang dahagakan ilmu, tetapi dihidangkan dengan penulisan berbentuk pseudosains ini. Habbatussauda bukan anti-kanser. Tidak boleh disamakan atau menandingi kimoterapi, kerana tidak pernah dibuktikan pun habbatussauda itu mengalahkan kimoterapi. Kita boleh lihat sendiri dalam sejarah perubatan sama ada moden atau silam, tak pernah ada catatan pun habbatussauda itu anti kanser. Jika benar ianya boleh menandingi kimoterapi, sudah tentu banyak pelaporan yang dibuat, ditulis, malah pihak hospital pun akan menggunakannya. Perubatan moden tidak pernah dengki dengan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada manusia sejagat. Malah kita tidak bankrap pun jika tidak menggunakan jintan hitam ini.

Kedua, tulisan berkenaan selalu momokkan Bigpharma (kilang farmasi gergasi) mempunyai agenda Yahudi. Bigpharma akan membenamkan perubatan timur atau perubatan bergelar sunnah. Perubatan moden yang mengaut keuntungan akan bankrap jika khasiat habbatussauda ini terbongkar!

Mengapa lemahnya kita? Kenapa sanggup mengucapkan ucapan pesimis? Sehingga seolah-olah bigpharma itulah yang terhebat dan kita tidak boleh menandingi. Kita sudah tiada izzah ke?

Saya lontarkan soalan sedemikian kerana, kita selalu mempersalahkan orang lain yang menampakkan kelemahan kita. Sedangkan kita muslim. Jika benar habbatussauda atau seumpamanya itu boleh menyembuhkan, bawalah bukti. Lantiklah saintis Islam yang boleh membuktikan, maka buktikan segera. Malah para perawat sendiri yang mendakwa habbatussauda itu menandingi kimoterapi, buat catatan dan kemukakan berapa peratus pesakit mereka yang sudah berikan rawatan itu sembuh. Zaman kini memerlukan bukti. Jika benar berkesan, KKM pun boleh guna sebagai modul berubat. Jika sekadar dakwa, khasiat itu dan ini tanpa diterjemahkan berapa kes telah sembuh melebihi kimoterapi, maka ianya hanya berlegar di peringkat khayalan, bukannya realiti.

Rujukan
[1] Minum air sejuk sebab buah pinggang. http://suhazeli.com/wp/?p=1601
[2] Cisplatin. Benarkah kacang soya menjahanamkan?. Root Of Science. http://rootofscience.com/…/benarkah-kacang-soya-menjahanam…/
[3] Makanan Berprotein penyebab sakit buah pinggang. http://suhazeli.com/wp/?p=2000
[4] Cisplatin. Stevia – Pemanis atau Racun. Root Of Science.
http://rootofscience.com/…/kesih…/stevia-pemanis-atau-racun/