Jalan raya: Untung dikaut, tanpa dipeduli maut!

KERJA-kerja turapan semula tar Jalan Lembah Limau Madu – Durian Mentangau dengan anggaran panjang 500 meter, lokasi dari Dungun 3.8km ke Durian Mentangau semalam menyaksikan kecelakaan menimpa seorang guru wanita yang saya agak-agak dalam awal 50-an.

Tidak dinafikan, faktor kelajuan menjadi penyumbang utama kepada kejadian. Namun, kelajuan yang dipecut akan terkawal dengan adanya papan tanda yang mencukupi. Sebagai pemandu yang berhemah, papan tanda menjadi panduan di dalam pemanduan.

Berkebetulan saya sampai di lokasi kejadian, mangsa masih di dalam kenderaannya. Kecederaan dalaman yang menghadkan pergerakan untuk beliau keluar dari kereta. Kurang dari 10 minit, ambulan tiba dan menguruskan mangsa.

Advertisement

Persoalan yang ingin saya utarakan adalah pemantauan kerja-kerja yang dibuat oleh kontraktor dari pihak berwajib. Saya penuh yakin, setiap kerja yang dianugerahkan kepada pemaju atau kontraktor, telah digariskan langkah-langkah keselamatan yang wajib dipatuhi. Pematuhan ini mestilah dibuat pemantauan. Menjadi lumrah manusia, mesti selalu diperingatkan, kerana kita terpengaruh dengan lupa.

Pematuhan kepada peraturan ini menjadi perkara wajib dan perlanggaran kepadanya, membolehkan kontraktor tersebut dikenakan penalti atau hukuman. Isu keselamatan adalah isu serius dan tiada kompromi terhadapnya.

Siasatan saya di lokasi kejadian;

Tiada signage atau papan tanda di kedua-dua belah sama ada di permulaan dan juga pengakhiran kerja-kerja turapan semula jalan (anggaran 500 meter panjang) tersebut. (Boleh rujuk gambar yang dikepilkan)

Rumusan pengamatan saya;

(1) Kontraktor tersebut telah melanggar aturan kerja-kerja turapan semula jalan dan meletakkan pengguna diambang maut! Siapa kontraktor itu? Dengan harapan… akan ada permohonan maaf kepada seluruh warga Dungun di atas kecuaiannya membahayakan warga Dungun.

(2) Pihak berwajib yang membuat pemantauan projek. Mengapa soal keselamatan yang begini penting, orang yang dipertanggungjawabkan memantau projek boleh berkompromi. Pegawai berkenaan mesti dipanggil untuk membela diri dan menjelaskan kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap beliau yang cuai dalam menasihatkan kontraktor.

Hari ini, Allah S.W.T menyelamatkan nyawa seorang guru yang sudah sekalian tahun menabur bakti mendidik anak bangsa (sehingga tulisan ini ditulis). Seusia guru yang ditimpa musibah ini, pengalaman dan kepakaran dari beliau amat berharga bagi negara. Bayangkan kalaulah ‘pemergian’ beliau (minta dijauhkan, amiin) disebabkan oleh kecuaian kontraktor yang ingin mencapai keuntungan maksima dengan memotong perbelanjaan kos papan tanda, dan kerana kecuaian pegawai yang menjaga… negara kehilangan pendidik yang berpengalaman, suami yang kehilangan isteri, anak-anak yang hilang tempat bermanja… malang sekali kerana ianya berlaku dari kecuaian manusia yang ‘babil’…

Qada’ dan qadar Allah diredhai bagi mereka yang beriman, namun merubah perilaku, ‘feel hudoh’ manusia sebegini, kena tangani bersama. kena kocok v jadi…

Kira-kira 5 minit sebelum ambulan beredar, kelihatan pekerja mula meletakkan papan tanda amaran dari arah Dungun. Gambar yang saya kepilkan memadai untuk kita semua membuat penilaian sekiranya ada dakwaan bahawa papan tanda sudah ada diletakkan. Gambar-gambar yang sempat saya rakamkan sebelum atau semasa ketibaan ambulan jelas melihatkan tiada papan tanda, dan gambar selepasnya menunjukkan barisan papan tanda yang sudah dipasang. Awas… jangan ada pula yang mendakwa, papan tanda sudah dipasang deh…

Saya tiada apa-apa melainkan meluahkan perkara yang mesti diambil tindakan serius oleh yang berkenaan. Harapnya, ia tidak berakhir di paparan muka buku ini sahaja. Tindakan pihak berwajib, kami nantikan agar tiada berulang.

WADIB ZAIN – HARAKAHDAILY 2/7/2020

Petikan asal dari: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10207313711756770&id=1704656191

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.