Ayam mahal: Seru pengguna bantu penguat kuasa

HARGA ayam yang naik mendadak dan dijual dengan harga melampau menuntut kerjasama para pengguna untuk membantu kerajaan menanganinya dengan melaporkan kepada pihak penguat kuasa. Inilah masanya kuasa pengguna berpadu dengan kuasa kerajaan bagi memastikan sikap mengambil kesempatan dalam kalangan pihak berkaitan dapat ditangani.

Advertisement

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengumumkan harga maksimum bagi 11 jenis barang melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) ianya akan berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 3 Jun depan. Senarai itu menetapkan harga siling bagi ayam standard adalah RM7.50 sekilogram.

Ketika sama, demi menjamin kepentingan rakyat selaku pengguna, ketegasan perlu diterjemah pihak KPDNHEP untuk mengarahkan pihak pegawai pemantau dan penguat kuasa turun kelapangan meninjau aktiviti  jualan di pasar-pasar. Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan kepada peniaga-peniaga yang menjual harga ayam dan barang keperluan lain melebihi harga maksimum telah ditetapkan.

Selain itu, pihak kerajaan mungkin membolehkan penetapan harga dikekalkan secara berterusan dengan tidak ditentukan oleh pembekal berdasar faktor penawaran dan permintaan semata-mata. Ianya boleh dilakukan dengan mempertimbangkan mekanisma atau kaedah yang dapat dijayakan pihak kerajaan sendiri menerusi peningkatan pengeluaran penternakan atau subsidi atau pengimportan dan pelbagai lagi.

Kebersamaan para pengguna dalam perkara ini bukan sahaja dapat menjamin pihak peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya, bahkan memastikan harga patut sentiasa dapat dinikmati. Malah, solidariti ini dapat mengelakkan pengguna dari pihak-pihak yang mengambil kesempatan memanipulasikan isu dan menimbulkan maklumat tidak benar dan mencetus panik.

Pihak pembekal dan peniaga juga harus bersikap jujur untuk tidak meraih peluang secara tidak wajar menaikkan harga disebalik permintaan kembali meningkat ketika ini dan menjelangnya musim perayaan. Semua pihak juga harus menyedari bahawa perbezaan ketara harga ketika ini adalah berikutan situasi dari kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan sekatan kepada aktiviti ekonomi.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan penawaran ayam melebihi permintaan yang mengakibatkan harganya jatuh. Namun, ketika PKP Bersyarat (PKPB) yang membenarkan aktiviti ekonomi kembali berjalan dan permintaan melebihi penawaran, menyebabkan berlaku peningkatan harga dengan wujud pembekal dan peniaga mengambil kesempatan.

Namun, ayam yang merupakan antara barang keperluan kawalan, sentiasa berada dalam harga ditetapkan kerajaan. Oleh itu, selain peranan pihak penguat kuasa memantau dan mengambil tindakan, peranan para pengguna amatlah diperlukan bagi memastikan pelaksanaannya menyeluruh dipatuhi oleh peniaga. Inilah kuasa pengguna yang perlu menjadi norma baharu Malaysia Prihatin.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/5/2020